Dua penyeludup lari tinggalkan 2,000kg beras di tepi jalan
KOTA BHARU - Dua penyeludup bertindak melarikan diri dan meninggalkan 2,000 kilogram (kg) beras yang dipercayai diseludup dari Thailand di tepi jalan di dua lokasi berasingan di sini dan Pasir Mas pada Sabtu.
Komander Briged Tenggara, Senior Assisten Komisioner Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, serbuan anggota Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA) Pengkalan Chepa berjaya menahan sebuah kereta jenis Proton Waja yang dipandu dalam keadaan mencurigakan sekitar jam 9 pagi di Kampung Jias, Beta Hulu di sini.
"Semasa serbuan dilakukan suspek yang merupakan seorang lelaki telah bertindak melarikan diri serta meninggalkan kereta di tepi jalan.
"Hasil pemeriksaan ke atas kenderaan tersebut telah menjumpai 800kg beras seludup dari Thailand tanpa dokumen yang sah," katanya pada Ahad.
Menurut beliau, anggaran nilai rampasan tersebut termasuk kereta berjumlan RM13,200.
Ujarnya, untuk serbuan kedua semasa Op Taring Wawasan oleh anggota Batalion 8 telah dilakukan di Kampung Chica, Pasir Mas.
Nik Ros Azhan memberitahu, rampasan yang dilakukan pada jam 9.30 pagi itu melibatkan sebuah pacuan empat roda jenis Mitsubishi Pajero yang dipandu oleh seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan.
Tambah beliau, semasa ditahan suspek bertindak melarikan diri dan telah meninggalkan kenderaan di tepi jalan.
"Hasil pemeriksaan ke atas kenderaan terbabit telah menemui 1,200kg beras Thailand tanpa dokumen sah.
"Anggaran nilai rampasan kenderaan dan barangan ialah RM34,800," katanya.
Beliau memberitahu, kedua-dua kes disiasat bawah Seksyen 20 Akta Kawal Selia Padi dan Beras 1994.
Nik Ros Azhan berkata, barangan rampasan diserahkan ke Kompeni Taktikal (Komtak) Jeram Perdah untuk tindakan selanjutnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!