Young Tigers buka gelanggang langkah kiri di SOJC

Pemain negara Azimuddin Kamaruddin (kanan) diasak pemain New Zealand Benjamin Culhane (kiri) pada aksi SOJC di Stadium Hoki Taman Daya.
Pemain negara Azimuddin Kamaruddin (kanan) diasak pemain New Zealand Benjamin Culhane (kiri) pada aksi SOJC di Stadium Hoki Taman Daya.
A
A
A

SKUAD hoki remaja kebangsaan gagal meraih kemenangan pertama selepas ditewaskan New Zealand 2-3 pada aksi pembukaan Kejohanan Piala Sultan Johor (SOJC) 2024 di Stadium Hoki Johor, Taman Daya, Tebrau.

Pada pertembungan itu, kedua-dua pasukan mempamerkan aksi seimbang untuk memburu jaringan sebelum New Zealand terlebih dahulu membuka jaringan seawal minit keempat menerusi pukulan sudut penalti yang disempurnakan Jonty Elmes.

Ketinggalan satu gol, Malaysia mula mengasak kubu pertahanan skuad diberi jolokan Black Sticks itu sebelum menyamakan kedudukan pada minit ke 16 suku kedua, hasil pukulan sudut penalti Harris Osman.

Bersambung suku ketiga, kedua-dua pasukan dilihat melancarkan serangan bertali arus bagi menggandakan jaringan, namun gagal menemukan penyudah.

Bagaimanapun, New Zealand bangkit untuk menggandakan jaringan menerusi pukulan penalti strok oleh Elmes.

Tidak menunggu lama, Young Tigers melancarkan serangan dan menyamakan kedudukan hasil jaringan gol padang oleh Adam Ashraf pada minit ke-55.

Namun kegembiraan skuad remaja kebangsaan untuk mengikat pasukan Black Sticks musnah, selepas gol padang Gus Nelson merobek gawang seminit kemudian dan keputusan kekal 2-3 sehingga tiupan wisel penamat.

Sementara itu, pengendali Young I Vikneswaran yakin skuad Young Tigers mampu bangkit menentang Jepun hari ini, selepas tewas 2-3 kepada New Zealand.

Artikel Berkaitan:

Katanya, anak buahnya perlu belajar daripada kesilapan yang dilakukan atas kekalahan itu dan kekal konsisten mengawal perlawanan serta mengambil perhatian terhadap kekuatan mental.

Bagaimanapun, jelas Vikneswaran, pujian harus diberikan kepada skuad remaja kerana mempunyai peluang membolosi gawang skuad Black Sticks.

“Kekalahan ini pahit untuk ditelan, tetapi kita harus terima layangan kad kuning terhadap Zulhanif Sahran pada suku keempat dan pihak lawan diberi penalti strok yang telah mengubah keseluruhan corak perlawanan.

“Kita mempunyai peluang kawal permainan dan membolosi gawang lawan, namun sudah tentu perlawanan seperti ini memerlukan pemain kekal konsisten dan kekuatan mental memainkan peranan besar, iaitu ia antara aspek yang perlu diperbaiki.

“Apa yang saya boleh katakan, pemain telah berikan yang terbaik dan kalah atau menang, kita tetap satu pasukan dan pastinya kesilapan yang dilakukan akan diperbaiki untuk bangkit semula berdepan Jepun hari ini,” katanya pada sidang media selepas perlawanan malam tadi.

Vikneswaran pada masa sama menasihati pemain agar kekal fokus dan belajar daripada pengalaman sebagai persediaan untuk kelayakan Piala Dunia Remaja.

Sementara itu, pengendali New Zealand Aaron Ford mengakui Young Tigers memberi tentangan sengit kepada pasukannya.

“Ia perlawanan yang sukar namun saya amat bangga dengan anak buah kerana kami berjaya mencipta banyak peluang sepanjang perlawanan.

“Kami telah berusaha keras dan saya rasa kami layak atas kemenangan ini,” katanya.

Terdahulu, India membuka kempen dengan menewaskan Jepun 4-2 manakala Great Britain menewaskan Australia 3-1.

Malaysia dijadual berdepan Jepun manakala India bertemu Great Britain sementara Australia menentang New Zealand.

Kejohanan bawah 21 tahun itu berlangsung sehingga 26 Oktober ini dengan enam negara berentap bagi merebut piala kejuaraan edisi ke -12.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!