Bapa perbankan Islam Malaysia, Abdul Halim Ismail meninggal dunia

Berita kematian itu disahkan melalui catatan di laman Facebook rasmi Bank Islam Malaysia Bhd pada Ahad. Foto FB Bank Islam Malaysia Berhad
Berita kematian itu disahkan melalui catatan di laman Facebook rasmi Bank Islam Malaysia Bhd pada Ahad. Foto FB Bank Islam Malaysia Berhad
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bapa perbankan Islam Malaysia, Datuk Dr Abdul Halim Ismail meninggal dunia pada usia 85 tahun pagi ini.

Berita itu disahkan melalui catatan di laman Facebook rasmi Bank Islam Malaysia Bhd pada Ahad.

Menurut bank itu, Abdul Halim yang merupakan Pengarah Urusan pertama Bank Islam, adalah seorang pemimpin yang berwawasan dan telah membentuk asas kewangan Islam di Malaysia.

Dedikasi dan semangat perintis beliau telah memainkan peranan penting dalam membentuk perjalanan Bank Islam serta meninggalkan impak yang berkekalan dalam pembangunan industri kewangan Islam Malaysia.

"Sebagai peneraju pertama Bank Islam, beliau bukan sahaja menggalas cabaran untuk memperkenalkan sistem perbankan baharu malah memimpin kami dengan kebijaksanaan dan visi jauh ke hadapan.

"Kepimpinan beliau sangat penting dalam merealisasikan impian, dengan sumbangan tidak terbilang yang akan sentiasa menjadi penanda asas perkembangan kami,” menurut Bank Islam.

Katanya legasi Allahyarham bukan hanya terbatas dalam dinding Bank Islam malah menjangkau kehidupan ramai yang mendapat manfaat daripada usaha beliau untuk memperjuangkan kewangan Islam dan membolehkan segenap masyarakat mendapat akses penyelesaian kewangan yang diperlukan.

"Ini termasuklah industri takaful, pengurusan dana amanah Islam, pembrokeran saham dan lain-lain,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Selain pencapaian profesional, katanya Abdul Halim dikenali atas sifat yang berani, berintegriti tinggi, rendah hati dan sentiasa prihatin terhadap khidmat masyarakat.

"Malah, beliau merupakan pencetus kepada Sadaqa House Bank Islam yang pada masa ini telah memberi manfaat kepada ribuan penerima yang layak.

"Pada saat duka ini, kami merakamkan ucapan takziah kepada keluarga dan insan tersayang Allahyarham,” katanya.

Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara pada Ahad.

Dilahirkan pada 28 Januari 1939 di Kedah, Abdul Halim mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Simpang Empat. Beliau melanjutkan pelajarannya di Al-Maahad Al-Mahmud (Kolej Mahmud) (di Kedah).

Beliau kemudiannya berpindah ke Kolej Sultan Abdul Hamid (SAHC) untuk meneruskan pendidikan Tingkatan Enam dari 1960-1961 sebelum melanjutkan pengajian di Universiti Malaya dan pada 1965, beliau mendapat Ijazah Sarjana Muda Sastera dalam bidang Ekonomi.

Pada 1966, beliau meneruskan pengajian ke Universiti Oxford untuk memperoleh Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Ekonomi, menurut Merdeka Award Trust.

Katanya detik penting Abdul Halim adalah pada 1983 apabila beliau dilantik sebagai Pengarah Urusan Bank Islam yang pertama, bank Islam yang menjadi perintis di Malaysia.- Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!