Projek ECRL di Kelantan dahului jajaran di dua negeri
KOTA BHARU - [DIKEMAS KINI] Pembinaan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Kelantan telah mendahului kerja-kerja pembinaan di dua negeri iaitu Terengganu dan Pahang.
Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri, Ir Nik Soh Yaacoub berkata, sehingga September lalu kemajuan pembinaan sudah mencapai 83.27 peratus sekali gus lebih awal daripada jadual asal.
"Pembinaan ini melibatkan jarak sepanjang 43.86km dengan dua stesen iaitu di Tunjong, Kota Bharu dan Cherang Tuli, Pasir Puteh.
"Stesen Cherang Tuli (Pasir Puteh) melibatkan penumpang dan kargo manakala Tunjong (Kota Bharu) penumpang sahaja," katanya semasa sidang akhbar pada Ahad.
Sebelum itu beliau mengadakan Lawatan Teknikal ke Projek ECRL di Tunjong di sini.
Menurut beliau, kejayaan positif itu dibantu oleh kerjasama yang dilakukan oleh semua pihak seperti Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) termasuk kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT).
Ujarnya, bagaimanpun pembinaan stesen di Cherang Tuli mengalami sedikit kelewatan.
Ir Nik Soh memberitahu, secara keseluruhan pembinaan mendahului jadual.
"Untuk MTL (Monsun Timur Laut) kerja-kerja akan berjalan seperti biasa dan para pekerja sudah bersedia untuk berdepan dengan situasi tersebut," katanya.
Projek ECRL sepanjang 665km dijadualkan siap dari Kota Bharu, Kelantan ke Terminal Bersepadu Gombak, Selangor pada Disember 2026, dan akan mula beroperasi pada Januari 2027.
Penyiapan sepenuhnya yang melibatkan sambungan rel dari Gombak ke Port Klang dijangka siap setahun kemudian pada Disember 2027.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!