Prabowo Subianto angkat sumpah jawatan sebagai Presiden Indonesia

Prabowo Subianto pada Ahad mengangkat sumpah sebagai Presiden Indonesia yang kelapan bagi penggal 2024 hingga 2029. Foto Facebook Prabowo Subianto
Prabowo Subianto pada Ahad mengangkat sumpah sebagai Presiden Indonesia yang kelapan bagi penggal 2024 hingga 2029. Foto Facebook Prabowo Subianto
A
A
A

JAKARTA - Presiden Prabowo Subianto mengangkat sumpah sebagai Presiden Indonesia bagi penggal 2024-2029 di Parlimen Indonesia pada Ahad.

Majlis itu turut disaksikan pemimpin asing and wakil khas, termasuk Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Lafaz sumpah di hadapan anggota Majlis Permusyawaratan Rakyat (MPR) juga dihadiri para tokoh nasional, pemimpin parti politik dan pihak kedutaan.

Prabowo, 73, melafazkan: "Demi ALLAH, saya bersumpah akan memenuhi kewajiban Presiden Republik Indonesia dengan sebaik-baiknya dan seadil-adilnya, memegang teguh Undang-Undang Dasar dan menjalankan segala undang-undang dan peraturannya serta berbakti kepada nusa dan bangsa.”

Anwar merupakan antara 19 pemimpin dan ketua negara asing yang diundang ke majlis itu termasuk Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah; Presiden Filipina, Ferdinand Romualdez Marcos Jr; Perdana Menteri Serbia, Milos Vucevic; Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong dan Perdana Menteri Timor-Leste, Xanana Gusmao.

Prabowo kini memegang jawatan sebagai presiden negara demokrasi ketiga terbesar di dunia berdasarkan populasi, susulan kemenangan Pilihan Raya Presiden 2024 pada 14 Februari dengan memperoleh 59 peratus undi.

Beliau, bersama Naib Presiden Gibran Rakabuming Raka, 37, berjaya menewaskan pencabar mereka, Anies Baswedan dan Ganjar Pranowo, yang masing-masing meraih kira-kira 25 peratus dan 16 peratus undi.

Prabowo, bekas jeneral dan menteri pertahanan, menjadi presiden ketiga yang berlatar belakang ketenteraan selepas Soeharto dan Susilo Bambang Yudhoyono.

Artikel Berkaitan:

Beliau juga mencatat sejarah sebagai presiden tertua di Indonesia ketika dilantik, mengetepikan Presiden ketiga BJ Habibie yang dilantik pada usia 61 tahun.

Sementara itu, Gibran pula menjadi naib presiden termuda, berbanding naib presiden pertama Mohammad Hatta yang ketika itu berusia 43 tahun. - Bernama

@sinarharianonline

Prabowo Subianto angkat sumpah jawatan sebagai Presiden Indonesia #fyp #SinarHarian #SinarTerkini #Global #Indonesia #PrabowoSubianto #Presiden

News - AShamaluevMusic

'Tak boleh bersikap seperti burung unta' - Prabowo ajak rakyat Indonesia hadapi cabaran

KUALA LUMPUR - Indonesia harus berani menghadapi cabaran, rintangan serta ancaman di tengah dinamik dan pergolakan dunia, kata Prabowo Subianto ketika menyampaikan ucapan pertamanya sebagai Presiden kelapan Republik Indonesia pada Ahad.

Pemimpin berusia 73 tahun itu menegaskan, republik itu yang memiliki lebih 200 juta penduduk dianugerahkan oleh kekayaan sumber alam yang sangat besar dan ia harus dimanfaatkan untuk pembangunan negara dan kesejahteraan rakyat.

"Saya mengajak semua, mari kita berani melihat kenyataan, kita boleh bangga dengan prestasi kita tetapi jangan terpegun dan cepat puas... jangan cepat gembira dan menutup mata terhadap cabaran serta penderitaan saudara-saudara kita.

"Kita tak boleh memiliki sikap seperti burung unta, yang memasukkan kepalanya dalam tanah. Mari menatap ancaman dengan gagah... mari kita hadapi kesulitan dengan berani.

"Saudara sekalian, mari kita berhimpun dan bersatu mencari penyelesaian dan jalan keluar daripada ancaman bahaya tersebut," katanya ketika menyampai pidato tersebut di bangunan Nusantara, Kompleks Parlimen di Jakarta.

Berucap lanjut di hadapan 20 ketua negara asing yang hadir pada majlis angkat sumpah pelantikan Presiden dan Naib Presiden Indonesia, Prabowo menambah semua pihak perlu berani untuk membaiki diri dan negara.

Bekas Jeneral itu juga berkata, Indonesia perlu menerima kenyataan bahawa masih banyak penyelewengan dan rasuah berlaku dalam negara dan aktiviti menyalahi undang-undang itu perlu ditentang demi masa depan bangsa.

"Kita harus berani mengakui terlalu banyak kebocoran daripada anggaran kita, penyimpangan kolusi (keterlibatan) antara pejabat politik dan pemerintah, di semua tingkatan... dengan penguasaha yang nakal dan tidak patriotik.

"Jangan takut untuk melihat realiti ini. Kita masih melihat sebahagian saudara kita yang belum menikmati hasil kemerdekaan, dan terlalu banyak saudara kita yang berada di bawah garis kemiskinan," ujar beliau.

Selari dengan itu, Prabowo menyatakan komitmennya untuk membasmi kemiskinan walaupun usaha tersebut dilihat oleh segelintir pihak sebagai mustahil.

Media sebelum ini melaporkan kadar kemiskinan Indonesia jatuh daripada 11.25 peratus pada 2014 kepada 9.03 peratus pada pada tahun ini, manakala kemiskinan tegar menurun daripada 6.18 peratus kepada 0.83 peratus.

Terdahulu, Prabowo selesai mengangkat sumpah sebagai Presiden Indonesia yang kelapan bagi penggal 2024 hingga 2029, menggantikan Joko Widodo (Jokowi).

Turut mengangkat sumpah ialah Gibran Rakabuming Raka sebagai Naib Presiden Indonesia bagi tempoh yang sama, menggantikan Ma’aruf Amin. - Awani

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!