Polis Tanah Merah gempur sempadan, 16 tangkapan libatkan dadah

Polis turut merampas 200 gram pil yaba bernilai RM30,000 selepas menggempur sempadan Malaysia-Thailand.
Polis turut merampas 200 gram pil yaba bernilai RM30,000 selepas menggempur sempadan Malaysia-Thailand.
A
A
A

TANAH MERAH - Ibu Pejabat Polis Derah (IPD) Tanah Merah melalui Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kelantan menahan 16 individu selepas menggempur pangkalan haram dan pintu masuk yang terletak di sempadan Malaysia-Thailand di sini bagi memerangi masalah dadah di negeri ini.

Ketua Polis Daerah, Superintenden Mohd Haki Hasbullah berkata, kesemua individu itu ditahan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 menerusi operasi khas yang diadakan selama sehari pada Sabtu.

"Kami turut merampas 200 gram pil yaba bernilai RM30,000," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Menurut beliau, operasi tersebut bertujuan mengekang penyeludupan dadah melalui pangkalan haram yang terdapat di sempadan Malaysia-Thailand di sepanjang Sungai Golok di sini.

Dalam perkembangan sama, Mohd Haki memberitahu, dari Januari hingga Oktober tahun ini pihaknya telah merekodkan 233 kes termasuk 244 tangkapan.

Ujarnya, ia termasuk 16 suspek dalam kategori bekalan, memiliki dadah (68) dan 160 penagih dadah.

"Kami mengalu-alukan orang ramai untuk berkongsi maklumat berkenaan dadah dengan menghubungi talian 09-9955622 atau ke balai polis berhampiran," katanya.

Artikel Berkaitan:
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!