Tulisan Jawi untuk seluruh rakyat Malaysia - Cikgu Lorenica

Lorenica berasa bertanggungjawab untuk memastikan tulisan Jawi tidak pupus ditelan zaman dan diwarisi rakyat Malaysia berbilang latar belakang.
Lorenica berasa bertanggungjawab untuk memastikan tulisan Jawi tidak pupus ditelan zaman dan diwarisi rakyat Malaysia berbilang latar belakang.
A
A
A

BELURAN - Lorenica Frenila Masundim, seorang guru berketurunan Rungus yang baru-baru ini tular mengajar tulisan Jawi di sekolahnya di sini, menyifatkan tulisan berkenaan adalah tulisan untuk seluruh rakyat Malaysia yang patut dipertahankan kewujudannya.

Guru Bahasa Melayu Sekolah Kebangsaan Bawang K9 itu berkata, tulisan Jawi adalah khazanah yang wajar dibanggakan oleh semua anak Malaysia dan menyeru rakyat di negeri ini menerima pembelajaran tulisan itu tanpa melontarkan kata negatif.

"Maka itu lebih harmoni untuk masa hadapan anak-anak kita, semua lapisan bangsa boleh duduk semeja bercerita tentang satu tulisan yang melambangkan kita semua sebagai anak Malaysia," katanya kepada Bernama.

Tular menerusi media sosial video dan gambar memaparkan Lorenica, 34, mengajar tulisan Jawi kepada muridnya, malah mampu menulis dengan kemas peribahasa 'Bagai Aur Dengan Tebing' dalam Jawi dan perkongsian itu turut mendapat perhatian bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik.

Anak kelahiran Paitan itu berkata, tulisan Jawi mengandungi nilai seni, budaya serta sejarah Melayu kerana tulisan yang menggunakan aksara atau huruf Arab terbabit dijadikan tulisan Bahasa Melayu klasik sekali gus suatu masa dahulu menjadi alat komunikasi pengantara.

Beliau berkata, untuk belajar tulisan Jawi agak mudah kerana huruf Jawi telah disesuaikan dengan bunyi Bahasa Melayu seperti sistem ejaan Rumi.

"Saya belajar mengenali tulisan Jawi semasa mengikuti pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda Pendidikan di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Gaya, Kota Kinabalu bermula 2008 hingga 2013 melalui subjek Pengenalan Sistem Ejaan Rumi dan Jawi," katanya.

Biarpun bukan beragama Islam, Lorenica berkata, perkara itu tidak menghalang dirinya untuk mempelajari tulisan Jawi seterusnya berkongsi kemahiran berkenaan dengan muridnya ketika proses pengajaran dan pemudahcaraan (PdPc) di sekolah.

Artikel Berkaitan:

Tulisan Jawi katanya, bukan merujuk kepada agama Islam semata-mata, sebaliknya milik semua dan sebuah tulisan khazanah tidak ternilai yang diwarisi oleh rakyat negara ini daripada generasi terdahulu.

"Saya mula mengajar tulisan Jawi pada 2022 untuk kelas Tahun 4 serta Tahun 5, mungkin ramai tidak tahu, sejak 2020 tulisan Jawi dimasukkan dalam mata pelajaran Bahasa Melayu Tahun 4 sebelum diteruskan hingga ke Tahun 6 bertujuan memperkaya murid dari aspek seni, warisan dan sejarah Melayu," katanya.

Lorenica berkata, dari semasa ke semasa, beliau akan turut merujuk rakan guru beragama Islam di sekolah sama bagi menambah baik pengetahuan berkaitan tulisan Jawi.

"Selain melalui Google, saya paling kerap merujuk kamus Dewan Bahasa dan Pustaka sejak zaman IPG lagi," katanya.

Sebagai guru opsyen Bahasa Melayu, Lorenica berasa bertanggungjawab untuk memastikan tulisan Jawi tidak pupus ditelan zaman dan diwarisi rakyat Malaysia berbilang latar belakang. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!