Agong, Raja Permaisuri zahir ucapan tahniah kepada Prabowo Subianto

Ucapan itu dizahirkan menerusi poster khas yang turut memaparkan gambar Sultan Ibrahim dan Prabowo berjabat tangan, yang dimuat naik di laman Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar. Foto Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar
Ucapan itu dizahirkan menerusi poster khas yang turut memaparkan gambar Sultan Ibrahim dan Prabowo berjabat tangan, yang dimuat naik di laman Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar. Foto Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar
A
A
A

KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah berkenan menzahirkan ucapan tahniah kepada Prabowo Subianto, yang mengangkat sumpah sebagai Presiden Indonesia kelapan pada Ahad.

Ucapan itu dizahirkan menerusi poster khas yang turut memaparkan gambar Sultan Ibrahim dan Prabowo berjabat tangan, yang dimuat naik di laman Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Prabowo, 73, mengangkat sumpah sebagai Presiden Indonesia bagi penggal 2024-2029 di Parlimen Indonesia, di majlis yang turut disaksikan pemimpin asing dan wakil khas termasuk Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Lafaz sumpah di hadapan anggota Majlis Permusyawaratan Rakyat (MPR) juga dihadiri para tokoh nasional, pemimpin parti politik dan pihak kedutaan.

Prabowo kini memegang jawatan sebagai presiden negara demokrasi ketiga terbesar di dunia berdasarkan populasi, susulan kemenangan Pilihan Raya Presiden 2024 pada 14 Februari dengan memperoleh 59 peratus undi.

Beliau bersama Naib Presiden Gibran Rakabuming Raka, 37, berjaya menewaskan pencabar mereka, Anies Baswedan dan Ganjar Pranowo, yang masing-masing meraih kira-kira 25 peratus dan 16 peratus undi.

Prabowo, bekas jeneral dan menteri pertahanan, menjadi presiden ketiga yang berlatar belakang ketenteraan selepas Soeharto dan Susilo Bambang Yudhoyono.

Beliau juga mencatat sejarah sebagai presiden tertua di Indonesia ketika dilantik, mengetepikan Presiden ketiga BJ Habibie yang dilantik pada usia 61 tahun. - Bernama

Artikel Berkaitan:


PM ucap tahniah kepada Prabowo

JAKARTA - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada Prabowo Subianto atas pelantikannya sebagai Presiden baharu Indonesia, pada Ahad.

"Saya mewakili Kerajaan Malaysia menyampaikan ucapan selamat memulai tugas pada sahabat lama saya, Prabowo,” kata Anwar kepada media Malaysia.

Anwar turut menyampaikan penghargaan kepada bekas Presiden Joko Widodo atas khidmat beliau selama ini dan mengiktiraf usahanya dalam mengekalkan hubungan baik dua hala antara Malaysia dan Indonesia.

Kehadiran Perdana Menteri di majlis itu mencerminkan komitmen berterusan Malaysia untuk memperkukuh hubungan dan kerjasama serantau di bawah kepimpinan baharu Prabowo.

Kedua-dua pemimpin juga sempat bertemu secara santai di kediaman Prabowo pada malam sebelumnya, dengan mereka membincangkan pelbagai isu dan inisiatif untuk memperkukuh kerjasama dua hala dalam pelbagai sektor.

Sejak menjawat jawatan pada November 2022, Anwar sentiasa memberi keutamaan kepada Indonesia sebagai rakan diplomatik utama, dengan lawatan rasmi pertamanya ke negara itu pada Januari 2023, disusuli dengan penyertaannya di Sidang Kemuncak ASEAN di Labuan Bajo dan Jakarta tahun yang sama.

Selesai menghadiri majlis di bangunan Majlis Permusyawaratan Rakyat (MPR), Perdana Menteri kembali ke tanah air dari Lapangan Terbang Halim Perdanakusuma pada 1 tengah hari waktu tempatan (2 petang waktu Malaysia).

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!