Manfaatkan sebaiknya RM15 juta

FAM diberi peruntukkan RM15 juta untuk memajukan skuad Harimau Malaya.
FAM diberi peruntukkan RM15 juta untuk memajukan skuad Harimau Malaya.
A
A
A

PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) perlu memastikan peruntukan RM15 juta diterimanya seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2025 berbaloi dan menjanjikan pulangan setimpal.

Penganalisis sukan tempatan, Datuk Dr Pekan Ramli berkata, peruntukan tersebut datang dengan tanggungjawab berat untuk dipikul oleh FAM dan harus digunakan sebaik mungkin membangunkan skuad Harimau Malaya serta skuad pelapis.

“FAM kena ingat ini bukan sumbangan sebaliknya ini duit rakyat iaitu peruntukan negara. Apabila dah masuk dalam belanjawan, ia datang dengan tanggungjawab yang berat.

“Mereka (FAM) kena pastikan penerimaan RM15 juta dengan tujuan utama untuk bangunkan skuad kebangsaan dan skuad pelapis selain perlu diberikan penekanan dari segi peraturan perbelanjaan, pemantauan dan akhir sekali pencapaian. Ini yang mereka kena tunjukkan.

“Jangan ingat dapat RM15 juta ini untuk belanja itu ini, bayar jurulatih sampai RM200,000 sebulan atau melihat berapa banyak boleh digunakan untuk pentadbiran bayar gaji kakitangan FAM dan sebagainya. Perkara ini perlu diperincikan supaya ia menjawab kepada pelbagai persoalan nanti,” katanya kepada Sukan Sinar.

Pada Jumaat, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengumumkan peruntukan sebanyak RM15 juta kepada pasukan Harimau Malaya, pasukan bawah 18 tahun dan bawah 13 tahun dalam Belanjawan 2025.

Ia bertujuan untuk mendapatkan jurulatih berkaliber, mengikuti sesi latihan terbaik serta ganjaran yang setimpal kepada pemain.

Dalam pada itu, Pekan turut mempertahankan peruntukan yang diberikan kepada sukan bola sepak berbanding sukan lain selepas terdapat kritikan yang menyifatkan badminton lebih layak menerima peruntukan besar berdasarkan pencapaian ketika ini.

Artikel Berkaitan:

“Kita kena tengok daripada beberapa konteks tertentu, kadang-kadang orang kata badminton ini tak dapat apa-apa. Sebenarnya sebelum ini badminton pun dapat banyak keistimewaan. Buat ABM (Akademi Badminton Malaysia) yang telan jutaan ringgit.

“Itu kerajaan dah bagi sebelum ini. Orang lain tak dapat. Selain itu, dari segi pendapatan daripada penajaan, badminton jauh lebih baik daripada sukan lain.

“Ia susulan pencapaian pemain badminton sebelum ini contohnya Datuk Lee Chong Wei, ini telah membawa pakej penajaan yang menguntungkan BAM (Persatuan Badminton Malaysia),” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!