Tiga mangsa maut dikenal pasti

Laporan Sinar Harian sebelum ini.
Laporan Sinar Harian sebelum ini.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Dua lelaki warga Indonesia antara tiga yang maut dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di KM42 Jalan Kluang Barat-Mersing, Kluang berhampiran sebuah ladang agro pelancongan malam tadi.

Dalam kejadian jam 9.20 malam itu, Jambong, 63, yang juga penunggang sebuah motosikal dan pemboncengnya, Suparman, 36, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah.

Kemalangan itu turut mengorbankan seorang pemandu kereta, Aishah Afiqah Mashaizar, 26, dan mencederakan tiga lagi individu lain.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Mohd Abduh Ismail berkata, kejadian dipercayai berlaku ketika motosikal yang dinaiki Jambong dan Suparman dari arah Kluang menuju ke Ayer Hitam mahu masuk ke simpang ladang berkenaan, namun tiba-tiba dilanggar sebuah kereta jenis Perodua Myvi dari arah belakang.

Akibat pelanggaran itu, Suparman terpelanting dan jatuh di atas sebuah kereta lain yang datang arah bertentangan manakala kereta Myvi itu pula bertembung dengan kereta dipandu oleh Aishah Afiqah.

“Jambong dan Suparman maut di tempat kejadian manakala Aishah Afiqah meninggal dunia di wad kecemasan Hospital Kluang. Tiga mangsa lain yang turut cedera dalam kemalangan itu dimasukkan ke wad hospital untuk menerima rawatan,” katanya dalam kenyataan di sini.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: Tiga maut nahas tiga Perodua Myvi

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!