Mengaku OKU tidak waras elak dikompaun kerana merokok di kedai makan
KOTA BHARU - Mengaku sebagai orang kurang upaya (OKU) tidak waras antara alasan diberikan perokok yang dikesan melakukan kesalahan merokok di kedai makan.
Alasan itu diberikan oleh seorang lelaki berusia 55 tahun di Pengkalan Chepa bagi mengelak daripada dikenakan kompaun.
Dia juga mulanya tidak memberikan kerjasama ketika diminta pihak berkuasa untuk menunjukkan kad pengenalan diri atau MyKad selain gagal menunjukkan bukti seperti kad OKU.
Tindakan penguat kuasa mengikut notis Seksyen 47 Akta 852 terhadap lelaki terbabit akhirnya dapat dilakukan selepas diberikan penerangan oleh anggota operasi.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK), Datuk Dr Zaini Hussin berkata, penguatkuasaan dilaksanakan di sekitar daerah Kota Bharu menerusi Operasi Mega Bersepadu JKNK pada Ahad.
“Bagi menjayakan penguatkuasaan undang-undang secara berkesan dan mampan, persefahaman serta kerjasama semua pihak amat diperlukan,” katanya kepada pemberita sempena Operasi Mega Bersepadu JKNK Penguatkuasaan Akta 852 di sini pada Ahad.
Menurut beliau, setakat 1 hingga 14 Oktober lalu, JKNK mengeluarkan 12 notis Seksyen 47 Akta 852 melibatkan kesalahan merokok termasuk rokok elektronik yang dihisap di tempat seperti kedai makan di beberapa daerah di negeri ini.
Bagi notis berkenaan, pesalah perlu menjelaskan kompaun berjumlah RM250.
Katanya, penguatkuasaan akta tersebut yang baharu bermula 1 Oktober lalu itu diteruskan dengan pemeriksaan premis makanan, kedai serbaneka, runcit dan kedai dobi di Kota Bharu pada Ahad.
“Penguatkuasaan Akta 852 berkuat kuasa serentak bersama Peraturan-Peraturan dan Perintah di bawahnya.
“Akta itu melibatkan beberapa aspek yang dikuatkuasakan serta merta dan juga secara berfasa,” kata beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!