Polis buru penunggang buat aksi 'wheelie'

Tangkap layar memaparkan penunggang motosikal yang melakukan aksi 'wheelie' sambil membonceng seorang wanita sehingga terjatuh dan kemudian terlanggar hadapan sebuah kereta.
Tangkap layar memaparkan penunggang motosikal yang melakukan aksi 'wheelie' sambil membonceng seorang wanita sehingga terjatuh dan kemudian terlanggar hadapan sebuah kereta.
A
A
A

KUALA NERUS - Polis giat mengesan penunggang motosikal yang melakukan aksi 'wheelie' sambil membonceng seorang wanita sehingga terjatuh dan kemudian terlanggar hadapan sebuah kereta di hadapan stesen minyak di Teluk Ketapang, di sini pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, pihaknya menerima laporan polis berhubung kejadian tersebut daripada mangsa yang merupakan pemandu kereta Perodua Myvi di Balai Trafik Kuala Terengganu pada jam 9.10 malam.

"Dalam kejadian kira-kira jam 6.37 petang telah berlaku satu kemalangan di hadapan sebuah stesen minyak di Teluk Ketapang melibatkan kereta Perodua Myvi dan motosikal jenis Honda EX5.

"Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika seorang wanita yang memandu kereta Perodua Myvi dipandu sedang bergerak lurus namun tiba-tiba datang sebuah motosikal jenis Honda EX5 ditunggang oleh seorang lelaki dan pembonceng wanita dari arah bertentangan telah melakukan aksi mengangkat tayar hadapan iaitu 'wheelie'.

"Setelah itu, motosikal tersebut telah terjatuh ke laluan bertentangan dan kemudian terlanggar hadapan kereta berkenaan," katanya dalam kenyataan di sini pada Ahad.

Sebelum ini, tular sebuah video yang dikongsikan laman Facebook Terengganu Kini yang mencecah sebanyak 7.2 juta tontonan setakat jam 3 petang Ahad yang memaparkan penunggang motosikal yang melakukan aksi 'wheelie' sambil membonceng seorang wanita sehingga terjatuh dan kemudian terlanggar hadapan sebuah kereta.

Mengulas lanjut, Azli menyatakan akibat kemalangan tersebut, penunggang motosikal berkenaan telah bertindak melarikan diri.

Selain itu, katanya, pemandu wanita tersebut telah datang ke Balai Trafik Kuala Terengganu untuk membuat laporan polis berhubung kemalangan tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Pihak polis masih mengesan penunggang dan pembonceng motosikal yang terlibat dalam kemalangan tersebut bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!