Belanjawan 2025 perkukuh pembangunan TVET, tingkat kerjasama sektor swasta
KUALA LUMPUR, 20 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 dilihat sebagai satu komitmen jelas kerajaan untuk memperkukuh pembangunan Pendidikan dan Latihan Teknikal serta Vokasional (TVET) dan teknologi, bertujuan memastikan tenaga kerja di negara ini bersedia menghadapi cabaran industri masa depan, kata Presiden Yayasan Mahir Malaysia, Datuk P Sri Ganes.
Beliau berkata, langkah kerajaan menyediakan geran padanan sebanyak RM50 juta untuk industri yang menyertai program Anak Angkat Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA) adalah satu inisiatif bijak yang boleh menarik lebih banyak penyertaan sektor swasta dalam pendidikan dan latihan.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa inisiatif seumpama itu perlu diperluas bagi mencapai hasil yang lebih besar dan impak yang lebih mendalam terhadap pembangunan tenaga kerja.
"Saya berharap sektor swasta bukan sahaja bertindak sebagai rakan kongsi, tetapi juga mengambil peranan utama dalam merangka kurikulum, menyediakan kemudahan latihan, serta membantu membimbing graduan TVET agar lebih bersedia untuk memasuki pasaran pekerjaan," katanya dalam kenyataan kepada Bernama.
Sri Ganes menjelaskan usaha seumpama itu akan memastikan hasil yang lebih berkesan dalam mengurangkan jurang antara sistem pendidikan dan keperluan industri, sekali gus memacu pembangunan tenaga kerja negara yang lebih berdaya saing.
Dalam Belanjawan 2025 yang dibentangkan pada Jumaat, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan mengumumkan peruntukan untuk TVET akan dinaikkan kepada RM7.5 bilion daripada RM6.8 bilion.
Langkah berkenaan selaras dengan Dasar TVET Negara yang menetapkan aspirasi dan hala tuju kerajaan untuk memastikan penyelarasan pelaksanaan secara holistik bermula tahun ini hingga 2030.
Mengulas lanjut mengenai Belanjawan 2025, Sri Ganes berpendapat peruntukan yang lebih besar wajar difokuskan kepada intervensi langsung melalui kerjasama awam swasta (PPP) yang lebih mendalam.
"Intervensi ini akan memacu hasil yang lebih jelas dan ketara, seperti peningkatan kebolehpasaran pekerja dan pembangunan kemahiran yang relevan dengan sektor teknologi dan inovasi tinggi," katanya.
Sri Ganes berkata, kerajaan perlu memberikan lebih banyak tumpuan kepada kerjasama PPP yang proaktif dalam usaha membangunkan bakat dan teknologi, dengan mengurangkan peruntukan yang terlalu besar kepada perbelanjaan operasi yang kurang berimpak.
"Dengan pendekatan ini, kita dapat memastikan belanjawan bukan sekadar menguruskan aspek penyelenggaraan, tetapi juga menjadi pemangkin kepada perubahan yang lebih luas dan bermakna dalam ekonomi serta pembangunan modal insan negara," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!