Ismail Sabri yakin Prabowo pacu Indonesia ke tahap tertinggi
SHAH ALAM - Bekas perdana menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyifatkan Presiden kelapan Indonesia, Prabowo Subianto sebagai individu yang penuh ketokohan, kewibawaan dan berpengalaman dalam memerintah Indonesia ke tahap tertinggi.
Beliau turut berkongsi pengalaman rakan sejawatnya itu ketika menjadi Menteri Pertahanan menempuh pandemik Covid-19 dan bersama membawa negara keluar dari wabak tersebut.
“Tahniah dan selamat maju jaya saya ucapkan kepada Bapak Prabowo, semoga ikatan persaudaraan Indonesia dan Malaysia akan terus erat merentasi pelbagai bidang,” katanya dalam kenyataan di Facebook pada Ahad.
Prabowo, 73, mengangkat sumpah sebagai Presiden Indonesia bagi penggal 2024-2029 di Parlimen Indonesia di majlis yang turut disaksikan pemimpin asing dan wakil khas termasuk Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Ahad.
Lafaz sumpah di hadapan anggota Majlis Permusyawaratan Rakyat (MPR) juga dihadiri para tokoh nasional, pemimpin parti politik dan pihak kedutaan.
Dalam pada itu, Ismail Sabri berharap, sejarah yang panjang untuk presiden tersebut dengan Malaysia akan memberikan manfaat kepada kedua-kedua negara.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!