GISBH: Ummu Atiyah ambil masa 30 minit tunjuk lokasi kurungan
BERUAS - Anak sulung kepada bekas pemimpin Al-Arqam, Ummu Atiyah Ashaari mengambil masa 30 minit untuk menunjukkan kepada polis lokasi dia didakwa dikurung di sebuah perkampungan GISB Holding Sdn Bhd (GISBH) di Kampung Batu Hampar Dalam di sini pada Ahad.
Wanita berusia 41 tahun itu hadir berpakaian kebarung berwarna kelabu ditemani tiga rakannya menaiki kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Proton X70, jam 2.38 petang sebelum beredar pada jam 3.07 petang.
Turut bersama lima kenderaan polis membawa 10 pegawai dan anggota diketuai Pegawai Penyiasat Kanan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping, Asisten Superintenden N Suder.
Media difahamkan, wanita tersebut tiba di Balai Polis Padang Gajah, Trong sekitar jam 11 pagi tadi untuk diambil keterangan.
Beliau kemudiannya dibawa ke lokasi dan menunjukkan beberapa tempat kejadian sepertimana didedahkan dalam sidang akhbar lalu bagi membantu siasatan polis.
Ia termasuklah bilik di rumah setingkat yang didakwa menjadi tempat kurungan serta kawasan sekitarnya.
Sebelum beredar, Ummu Atiyah sempat mengucapkan terima kasih dan memaklumkan akan terus pulang ke Kuala Lumpur.
Malah secara berseloroh, beliau meminta petugas media untuk tidak mendedahkan nombor pendaftaran kenderaannya.
"Terima kasih, kami nak balik KL (Kuala Lumpur). Jangan ambil nombor kenderaan ya," katanya.
Terdahulu, Ummu Atiyah mendakwa dia menjadi mangsa rogol kepada seorang pemimpin GISBH yang ingin menikahinya secara paksa.
Beliau turut mendakwa dikurung di perkampungan itu yang juga dihuni ramai remaja dan orang dewasa dalam lingkungan usia 13 dan ke atas.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!