Pemain industri pelancongan berperanan promosi 9 identiti NS

Syafiq (barisan kedua, berdiri empat dari kiri) dan Jefri (baris depan, dua dari kiri) bersama pengamal media Negeri Sembilan pada program berkenaan.
Syafiq (barisan kedua, berdiri empat dari kiri) dan Jefri (baris depan, dua dari kiri) bersama pengamal media Negeri Sembilan pada program berkenaan.
A
A
A

SEREMBAN - Pemain industri pelancongan di Negeri Sembilan diingatkan tidak hanya fokus kepada produk mereka semata-mata, sebaliknya turut berperanan memperkenalkan sembilan identiti negeri ini sebagai usaha mempromosikan Negeri Sembilan.

Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Kesenian Negeri Sembilan, Nicole Tan Lee Koon berkata, identiti berkenaan melibatkan adat perpatih, rumah tradisional bumbung panjang, gulai kuning, bunga lada, gasing Negeri Sembilan dan dam harimau.

"Kerajaan negeri akan terus memberikan sokongan dan bantuan kepada pemain industri ini sekali gus merapatkan hubungan mereka dengan agensi kerajaan.

"Usaha ini antara lain sebagai persediaan Tahun Melawat Negeri Sembilan 2026 yang mana kita juga sedang mengenal pasti beberapa kawasan yang berpotensi dijadikan trek permotoran sukan lasak dalam hutan," katanya.

Danial Amsyar (kanan) menyampaikan cenderahati kepada Jefri (tengah) sambil diperhatikan oleh Syafiq.
Danial Amsyar (kanan) menyampaikan cenderahati kepada Jefri (tengah) sambil diperhatikan oleh Syafiq.

Ucapan berkenaan dibacakan oleh Pegawai Penyelidiknya, Syafiq Mehaga pada Program Media Teghojah Nismilan di Kg JKIN Extreme Park di sini, pada Ahad.

Hadir sama, Pengerusi Kelab Media Negeri Sembilan (MANIS) Danial Amsyar Arfi dan Ketua Pegawai Eksekutif Kg JKIN Extreme Park, Jefri Ramli.

Mengenai trek permotoran sukan lasak dalam hutan, Nicole berkata, terdapat beberapa lokasi lain yang sesuai boleh dijadikan trek permotoran lasak di hutan seperti di daerah Jelebu dan Kuala Pilah.

Artikel Berkaitan:

"Ini adalah sebagai usaha kerajaan negeri dalam memperbanyakkan lagi lokasi-lokasi tarikan bagi konsep pelancongan seumpama tersebut.

"Sukan permotoran ini antara sukan yang boleh menarik orang ramai, contohnya kita ada Litar Motocross, Litar Cuprix dan Litar Drag di Jempol.

"Antara lokasi menarik untuk pelancongan sukan di negeri ini pula ialah Gua Batu Maloi di Johol dan Pedas Paragliding Park di Rembau," katanya.

Antara aktiviti menarik di Kampung JKIN pada Program Media Teghojah Nismilan pada Ahad.
Antara aktiviti menarik di Kampung JKIN pada Program Media Teghojah Nismilan pada Ahad.

Nicole berkata, seperti di Kampung JKIN Extreme Park ini, ia merupakan antara lokasi yang menjadi tarikan pelancong yang gemarkan aktiviti lasak seperti bermain ATV (All-terrain Vehicle), Flying Fox, monkey zip-line dan pada masa sama menikmati alam semulajadi.

"Aktiviti sebegini bukan saja menyeronokkan, tetapi dapat memberi satu pengalaman baharu buat mereka yang inginkan suasana berbeza mengisi percutian,"katanya.

Sementara itu, berhubung program tersebut, Nicole berterima kasih kepada MANIS dan berharap hubungan seperti ini akan berkekalan selain bersama-sama membantu dalam menguar-uarkan agenda kerajaan negeri untuk kebaikan rakyat serta mempromosikan produk pelancongan negeri ini.

Pada program tersebut, para pengamal media Negeri Sembilan berpeluang merasai pengalaman sukan lasak dengan menyertai ATV dan Flying Fox.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!