PGA rampas 70 kotak ayam sejuk beku seludup bernilai RM10,500

Keseluruhan bahagian penumpang diisi dengan puluhan kotak berisi ayam sejuk beku tanpa memiliki dokumen sah. Foto PGA
Keseluruhan bahagian penumpang diisi dengan puluhan kotak berisi ayam sejuk beku tanpa memiliki dokumen sah. Foto PGA
A
A
A

KOTA BHARU - Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas 70 kotak ayam sejuk beku bernilai RM10,500 yang dipercayai diseludup masuk dari Thailand selepas menahan sebuah kereta Perodua Myvi di Cabang 3 Tok Deh, Pasir Mas, semalam.

Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, rampasan itu dilakukan selepas pasukannya bertindak menahan kereta tersebut pada jam 8 pagi yang dipandu oleh seorang lelaki berusia 23 tahun dalam keadaan mencurigakan.

Beliau berkata, susulan itu, pemeriksaan dilakukan dan mendapati keseluruhan bahagian penumpang diisi dengan puluhan kotak berisi ayam sejuk beku tanpa memiliki dokumen sah.

"Bekalan itu adalah untuk pasaran tempatan dan ia diserahkan kepada Balai Polis Rantau Panjang untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 4(1) Akta Makanan 1983," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Sementara itu, Nik Ros Azhan turut memaklumkan bahawa polis telah merampas sebanyak 2,000 kilogram (kg) beras Siam dalam dua operasi berasingan yang dijalankan di Kampung Jias Beta Hulu di sini dan Kampung Banggol Chica, Pasir Mas.

Beliau berkata, dalam operasi di Kampung Jias, polis merampas sebanyak 800kg beras yang dianggarkan bernilai RM3,200 setelah menemui beras tersebut di dalam sebuah kereta Proton Waja yang ditinggalkan tanpa pemandu.

Katanya, dalam operasi di Kampung Banggol Chica, sebanyak 1,200kg beras bernilai RM4,800 dirampas selepas pemeriksaan ke atas sebuah kereta pacuan empat roda yang turut ditinggalkan.

"Kes ini disiasat mengikut Seksyen 20 Akta Kawal Selia Padi dan Beras 1994 dan kesemua beras diserahkan kepada Kompeni Taktikal (Komtak) Jeram Perdah untuk tindakan selanjutnya,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Artikel Disyorkan