Pengendali makanan dikesan tiada sijil latihan, kuku panjang

Hasil pemeriksaan, MPHS mendapati terdapat pelbagai pelanggaran peraturan kebersihan termasuklah pengendali makanan berkuku panjang. Foto MPHS
Hasil pemeriksaan, MPHS mendapati terdapat pelbagai pelanggaran peraturan kebersihan termasuklah pengendali makanan berkuku panjang. Foto MPHS
A
A
A

HULU SELANGOR - Sebanyak 55 gerai dan lapan pengendali makanan diperiksa dalam operasi dijalankan pada Hari Terbuka Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) di Antara Gapi di sini.

Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) memaklumkan, pemeriksaan itu dijalankan Bahagian Inspektorat, Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (JPSPPA), MPHS.

"Hasil daripada pemeriksaan mendapati terdapat pelbagai pelanggaran peraturan kebersihan termasuklah pengendali makanan tidak mempunyai sijil latihan pengendali makanan, tidak mengambil suntikan pelalian anti tifoid dan berkuku panjang.

"Selain itu, ada pengendali makanan memakai perhiasan diri, tidak memakai apron, penutup kepala dan kasut bertutup," kata pihak berkuasa tempatan itu menerusi satu hantaran di laman Facebooknya.

Dalam pada itu, pemeriksaan juga mendapati terdapat gerai yang menggunakan peralatan kulinari tidak bersih, makanan dibiarkan terdedah tanpa penutup dan beberapa kesalahan lain berkaitan kebersihan premis makanan di bawah piawaian MPHS.

"Susulan daripada pemeriksaan tersebut, JPSPPA telah mengambil tindakan penguatkuasaan dengan mengeluarkan dua kompaun di bawah Undang-Undang Kecil Penjaja, UUK 38 (1) kerana tidak mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh MPHS dan di bawah Undang-Undang Kecil Pemungutan, Pembuangan dan Pelupusan Sampah, UUK 11 kerana penjaja melepaskan efluen di tempat yang tidak ditetapkan," ujarnya.

Tambahnya, penganjur turut diberi Notis Arahan Pembetulan untuk memastikan kebersihan longkang awam selepas acara dan memantau pematuhan peraturan kebersihan oleh penjaja sepanjang karnival berlangsung.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!