Anwar ucap tahniah kepada Presiden Prabowo
SHAH ALAM - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merakamkan ucapan tahniah kepada Prabowo Subianto dan Gibran Rakabuming Raka atas pelantikannya sebagai Presiden serta Naib Presiden Indonesia yang baharu hari ini.
Anwar berkata, beliau yakin bahawa Prabowo akan berkhidmat sepenuh hati dan akan turut sama dengan Malaysia membangun kerukunan serta mengangkat martabat atau harkat rantau ke peringkat lebih baik.
“Insya-ALLAH, Malaysia akan terus menjadi rakan strategik Indonesia selain meningkatkan jambatan rasa dan ikatan persahabatan kedua negara bersaudara ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Ahad.
Presiden Prabowo Subianto mengangkat sumpah sebagai Presiden Indonesia bagi penggal 2024-2029 di Parlimen Indonesia pada Ahad.
Lafaz sumpah di hadapan anggota Majlis Permusyawaratan Rakyat (MPR) juga dihadiri para tokoh nasional, pemimpin parti politik dan pihak kedutaan.
Anwar hadir bersama dalam majlis yang penuh bermakna dan penting itu dalam konteks tinta sejarah demokrasi Indonesia serta perkembangan politik serantau selain sebagai tanda penghormatan buat masyarakat sana.
Pada masa sama, Anwar turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Presiden Republik Indonesia (RI) ke-7, Joko Widodo atas sumbangan dan kerjasama yang terus dihulurkan kepada Malaysia sepanjang menjadi ketua sejak 2014 hingga 20 Oktober 2024.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!