Keluarga Haji Wan Abdullah Serban Hijau bertemu pertama kali selepas 100 tahun

Keluarga Besar Haji Wan Abdullah Serban Hijau 2024 bergambar di Studio F, Kompleks Kumpulan Karangkraf, Seksyen 15, di Shah Alam pada Ahad.
Keluarga Besar Haji Wan Abdullah Serban Hijau 2024 bergambar di Studio F, Kompleks Kumpulan Karangkraf, Seksyen 15, di Shah Alam pada Ahad.
A
A
A

SHAH ALAM - Himpunan Keluarga Besar Haji Wan Abdullah Serban Hijau 2024 (HWASH 2024) berjaya mengumpulkan lebih 300 ahli keluarga dari Kelantan dan Pahang melibatkan pelbagai generasi.

Pengasas Kumpulan Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub berkata, pertemuan kali pertama itu merupakan permulaan untuk merapatkan hubungan persaudaraan daripada pelbagai generasi supaya dapat mengenali antara satu sama lain dengan lebih dekat.

"Selepas 100 tahun, ini merupakan pertemuan pertama diadakan dengan menghimpunkan keluarga dari Kelantan dan Pahang ke satu tempat iaitu di Kompleks Kumpulan Karangkraf, di sini.

Hussamuddin (tiga dari kiri) menjelaskan susur jalur Keluarga Besar Haji Wan Abdullah Serban Hijau kepada ahli keluarga.
Hussamuddin (tiga dari kiri) menjelaskan susur jalur Keluarga Besar Haji Wan Abdullah Serban Hijau kepada ahli keluarga.

"Alhamdulillah, kami mula menjejaki ahli keluarga lain menerusi medium yang ada seperti aplikasi WhatsApp dan selepas dua bulan menyusun atur galur generasi serta mencapai kata sepakat untuk adakan perjumpaan pada 20 Oktober 2024," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

HWASH 2024 yang diadakan di Kompleks Kumpulan Karangkraf, Seksyen 15 itu bermula jam 11 pagi hingga 4 petang.

Majlis berkenaan dilaksanakan dengan lancar menerusi sesi perkenalan dan silaturahim semua ahli keluarga, bergambar dan menikmati juadah yang disediakan bersama-sama.

Mengulas lanjut, Hussamuddin memaklumkan, usaha tersebut tidak boleh terhenti setakat itu sahaja dan generasi baru memainkan peranan bagi meneruskan legasi tersebut supaya hubungan kekeluargaan akan kekal utuh.

Artikel Berkaitan:

"Hari ini saja kita berjaya kumpulkan lebih 300 ahli keluarga dan saya berharap terutama kepada generasi baru, pentingnya kita merapatkan hubungan silaturahim antara keluarga.

Hussamuddin (kiri) dan Abd Rahim ketika memberi ucaptama di Himpunan Keluarga Besar Haji Wan Abdullah Serban Hijau 2024 (HWASH 2024) pada Ahad.
Hussamuddin (kiri) dan Abd Rahim ketika memberi ucaptama di Himpunan Keluarga Besar Haji Wan Abdullah Serban Hijau 2024 (HWASH 2024) pada Ahad.

"Berusaha, carilah dan cuba untuk kenal dengan lebih ramai keluarga yang lain. Jangan hadkan sehingga sepupu atau saudara terdekat sahaja," katanya.

Sementara itu, generasi kedua, Tan Sri Abd Rahim Mohamad, 75, berkata, HWASH 2024 merupakan langkah pertama untuk mengekalkan tali persaudaraan generasi Haji Wan Abdullah Serban Hijau yang sudah lama terpisah.

Menurutnya, ukhuwah yang terjalin pada hari ini perlu diteruskan walaupun ketika majlis formal, tidak formal atau program kecil-kecilan.

Ahli keluarga melihat susur galur Keluarga Besar Haji Wan Abdullah Serban Hijau pada Ahad.
Ahli keluarga melihat susur galur Keluarga Besar Haji Wan Abdullah Serban Hijau pada Ahad.

"Program ini untuk kenal saudara di Kelantan sebab asal Haji Wan Abdullah memang dari Kelantan tetapi arwah sudah merantau ke Pahang. jadi kita kurang tahu tentang saudara-mara di Kelantan.

"Maka dengan kesedaran ini, saya berbincang beberapa kali dengan saudara di Kelantan termasuk Hussamuddin untuk mengadakan satu majlis perjumpaan.

"Saya harap majlis seperti ini akan diadakan dalam setahun sekali dan tentu akan memupuk persaudaraan yang lebih baik, hari ini merupakan pengenalan dan kemudian hari tali persaudaraan ini akan lebih erat pada masa akan datang," ujarnya.

Dalam pada itu, generasi keenam, Syamil Fahin Mohamed Fahim, 51, berkata, melalui HWASH 2024, dia baru mengetahui bahawa dia dan rakannya mempunyai hubungan kekeluargaan.

Tambahnya, banyak kelebihan lain bila berkumpul seperti ini kerana selama ini mungkin hanya mengenali saudara terdekat sahaja tetapi tidak tahu mengenai asal usul generasi kedua, ketiga dan sebagainya.

Antara ahli keluarga yang hadir.
Antara ahli keluarga yang hadir.

"Alhamdulillah, kita dapat berkumpul bersama kaum kerabat yang lain. Pepatah Melayu ada berkata 'kalau ada sumur di ladang, bolehlah kita menumpang mandi, kalau ada umur yang panjang, bolehlah kita bertemu lagi'.

"Semoga semua ahli keluarga diberi kesihatan berpanjangan dan kesejahteraan supaya ini bukan kali pertama tetapi boleh jadi kali kedua ketiga dan seterusnya untuk mengeratkan silaturahim keluarga yang besar ini," katanya.

Bagi Asyraf Afeeq Ahmad Murtzadza, 18, dia yang merupakan generasi keenam tidak menyangka dapat berkumpul dengan ahli keluarga dalam jumlah besar daripada pelbagai generasi.

Menurutnya, sambutan hari raya pada tahun hadapan di Kelantan dijangka semakin meriah kerana sudah mengenali lebih ramai saudara-mara yang tinggal di negeri itu.

Ahli keluarga mendaftar kehadiran.
Ahli keluarga mendaftar kehadiran.

Sementara itu, generasi keempat, Siti Nasihah Nassurudin, 34, berkata, dia berasa sangat teruja dan gembira dapat berkumpul bersama ahli keluarga yang lain.

"Memang saya teruja dan kagum dapat tengok betapa besarnya (jumlah) ahli keluarga kami sebab sebelum ini tidak pernah tahu mengenainya. Bila lihat susur galur itu... memang menariklah.

"Memang patut diteruskan (majlis) supaya generasi muda lebih kenal dengan keluarga dan tahu dari mana asal usul mereka.

"Sebelum ini, saya pun tidak tahu... jadi bila ada perhimpunan macam ini saya dapat tahu mengenai keturunan keluarga," jelasnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!