MTL: Kerajaan ikhtiar pastikan bekalan makanan mencukupi

Mohamad (tiga dari kiri) ketika meninjau operasi pendaratan ikan tuna di Dermaga Dalam, Butterworth pada Ahad.
Mohamad (tiga dari kiri) ketika meninjau operasi pendaratan ikan tuna di Dermaga Dalam, Butterworth pada Ahad.
A
A
A

BUTTERWORTH - Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) akan berikhtiar bagi memastikan bekalan makanan mencukupi susulan fasa Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka melanda beberapa negeri menjelang hujung tahun ini.

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, meskipun bukan 100 peratus jaminan diberikan namun pihaknya akan terus berikhtiar dengan memanfaatkan segala sumber dan pengalaman yang ada bagi memastikan bekalan makanan mencukupi.

Menurutnya, persediaan rapi sudah dilakukan oleh agensi berkaitan selepas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengarahkan supaya semua jentera dibawahnya bersiap sedia.

"Persediaan memang ada Insya-ALLAH. Mencukupi atau tidak, saya yakin dengan pengalaman yang lama. Insya-ALLAH kita dapat sediakan bekalan makanan dengan cukup.

"Jaminan ini kita boleh ikhtiar sebagai contoh Amerika Syarikat, negara yang paling maju pun, lihatlah apa yang berlaku ketika ditimpa bencana. Maka, kita bersedia dan cuba mencari ikhtiar,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau operasi pendaratan ikan tuna di Dermaga Dalam di sini pada Ahad.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai persediaan KPKM memastikan sekuriti makanan mencukupi ketika menghadapi MTL yang dijangka bermula November ini yang berpotensi mengakibatkan hujan lebat dan banjir di beberapa kawasan seluruh negara.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan berlaku kenaikan harga bekalan makanan pada musim tersebut nanti.

Artikel Berkaitan:

“Mungkin harga akan berlaku turun naik dan sebagainya, namun Insya-ALLAH bekalan makanan mencukupi,” katanya.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) sebelum ini menjangkakan MTL akan berlaku pada awal bulan depan berdasarkan faktor klimatologinya.

Ketika ini, Malaysia masih berada dalam fasa peralihan monsun bermula 24 September lalu dan ia dijangka berterusan sehingga awal bulan depan.

Fenomena banjir juga dijangka melanda beberapa negeri juga mungkin disebabkan MTL.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!