Bekalan air 60,000 akaun pengguna SAINS terjejas akibat paip pecah

Pihak SAINS kini sedang giat melaksanakan kerja pembaikan berikutan insiden luar jangka itu. Foto FB Pusat Khidmat Pelanggan - SAINS
Pihak SAINS kini sedang giat melaksanakan kerja pembaikan berikutan insiden luar jangka itu. Foto FB Pusat Khidmat Pelanggan - SAINS
A
A
A

SEREMBAN - Hampir 60,000 akaun pengguna mengalami gangguan bekalan air akibat kerja pembaikan susulan paip pecah di hadapan stesen Petronas Jalan Jelebu di sini yang berlaku sejak semalam.

Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn Bhd (SAINS) dalam kenyataan memaklumkan pihaknya kini sedang giat melaksanakan kerja pembaikan berikutan insiden luar jangka itu.

"Ketika ini, kerja pengeluaran baki air dalam paip, kerja mengorek dan pemasangan sheet pile siap sepenuhnya manakala kerja pembaikan kerosakan mencapai 80 peratus.

"Bagi mengurangkan kesan gangguan kepada pelanggan kawasan yang terlibat, SAINS menghantar bekalan air melalui lori tangki ke kawasan terjejas selain meletakkan tangki statik," menurut kenyataan itu di sini hari ini.

SAINS memberitahu pelanggan boleh merujuk Facebook Pusat Khidmat Pelanggan SAINS untuk maklumat terkini yang dikemas kini dari semasa ke semasa serta menghubungi talian bebas tol 1-300-88-6982 atau melalui e-mel aduan@sainswater.com untuk sebarang bantuan.

Semalam, SAINS memaklumkan berlaku gangguan bekalan air berikutan kerja kecemasan pembaikan paip pecah bersaiz 1,200 milimeter (mm) dan 200 mm di hadapan stesen Petronas Jalan Jelebu.

SAINS menjelaskan antara kawasan yang mengalami gangguan bekalan air adalah di seluruh kawasan Seremban 2, S2 Height, Taman Rasah Kemayan, Taman Bukit Kepayang, Taman Mantau Indah 1, Taman Mantau Indah 2, Taman Mantau Indah 3, Jalan Labu Batu 1-9, Jalan Sungai Ujong, Jalan Labu Lama dan Taman Permai Kemayan Square, Bandar Seremban, Templer dan Lobak. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!