Stones tumbangkan Wolves di Molineux
TANDUKAN masa kecederaan pemain pertahanan, John Stones memastikan Manchester City membawa pulang tiga mata selepas menewaskan Wolverhampton Wanderers, 2-1 dalam aksi Liga Perdana Inggeris di Stadium Molineux.
Kemenangan keenam selepas mengharungi lapan perlawanan itu membolehkan anak buah Pep Guardiola mengumpul 20 mata.
Wolverhampton Wanderers kendalian Gary O'Neil kekal di kedudukan tercorot liga dengan satu mata selepas mengharungi lapan perlawanan.
Manchester City yang hadir ke Molineux dengan status juara bertahan bermula garang apabila menguasai permainan sejak dari minit awal perlawanan.
Namun Wolverhampton Wanderers terlebih dulu di depan menerusi jaringan penyerang Wolves Jorgen Strand Larsen yang menyambut hantaran Nelson Semedo minit ketujuh.
Manchester City yang tersentak dengan jaringan itu kembali meningkatkan asakan yang kemudian menyamakan kedudukan menerusi jaringan Josko Gvardiol pada minit ke-33.
Kemenangan diraih Manchester City menyaksikan The Citizens melebarkan rekod tanpa kalah kepada 31 perlawanan sekali gus membawa mereka ke puncak puncak liga.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!