Serlah potensi, bakat anak autisme

Fadlina bersama kanak-kanak yang menyertai KLIA 2024 pada Sabtu. Foto MOHD HALIM ABDUL WAHID-Sinar Harian
Fadlina bersama kanak-kanak yang menyertai KLIA 2024 pada Sabtu. Foto MOHD HALIM ABDUL WAHID-Sinar Harian
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menerusi Pusat PERMATA Kurnia (PPK) buat julung kalinya menganjurkan Karnival Lestari Intervensi Awal 2024 bagi menghubungkan masyarakat dengan kaedah intervensi awal autisme dalam usaha menyerlahkan potensi serta kebolehan kanak-kanak terlibat.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pendekatan dan strategi pembelajaran baharu perlu ditambah nilai mengikut peredaran masa dalam membentuk keberhasilan murid berkeperluan pendidikan khas (MBPK).

Selain itu ujarnya, gambaran positif dapat dipamerkan kepada ibu bapa dan komuniti bahawa individu autisme juga boleh menyumbang kembali kepada masyarakat dengan kemahiran yang ada.

"Kita laksanakan program ini di sebuah pusat beli-belah bagi memastikan advokasi dapat diperluas dengan melibatkan komuniti terutama golongan ibu bapa dalam memastikan apa yang dipamerkan dapat dimanfaatkan oleh semua pihak.

"Saya berharap karnival seperti ini dapat dilaksanakan dari semasa ke semasa untuk membina kepercayaan, keyakinan serta mengukuhkan sisi pendidikan manusiawi khususnya kepada MBPK di bawah KPM," katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Karnival Lestari Intervensi Awal (KLIA) 2024 pada Sabtu.

Fadhlina (empat dari kiri) merasmikan KLIA 2024 di ibu negara pada Sabtu. Foto MOHD HALIM ABDUL WAHID-Sinar Harian
Fadhlina (empat dari kiri) merasmikan KLIA 2024 di ibu negara pada Sabtu. Foto MOHD HALIM ABDUL WAHID-Sinar Harian

Karnival selama dua hari bermula 19 Oktober itu, membabitkan beberapa program menarik antaranya pertandingan mencanting batik, melukis secara digital dan persembahan daripada murid-murid MBPK.

Bertemakan 'Dunia Impian Saya' serta slogan 'Masyarakat Madani Memperkasa Kelestarian Intervensi Awal', karnival itu berpotensi mencapai beberapa objektif antaranya meningkatkan intervensi awal dan kesediaan pendidikan inklusif, di samping memberi peluang kepada golongan MBPK menyerahkan potensi diri ke arah kemenjadian.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, program berkenaan turut memberi input dan perkhidmatan sokongan kepada ibu bapa dalam merancang hala tuju MBPK.

Pertandingan mewarna merupakan antara aktiviti yang diadakan sempena KLIA 2024. Foto MOHD HALIM ABDUL WAHID-Sinar Harian
Pertandingan mewarna merupakan antara aktiviti yang diadakan sempena KLIA 2024. Foto MOHD HALIM ABDUL WAHID-Sinar Harian

Program PERMATA Kurnia

Program PERMATA Kurnia merupakan antara tujuh program di bawah Bahagian PERMATA KPM yang menyediakan perkhidmatan intervensi awal dan komprehensif kepada kanak-kanak autisme berusia dua hingga enam tahun termasuk ahli keluarga.

Ketua Penolong Setiausaha Kanan, Bahagian Permata KPM, Elangovan Narayanan berkata, Karnival Lestari Intervensi Awal 2024 mampu memberi kesedaran kepada semua pihak mengenai kepentingan menyerlahkan sokongan kepada golongan autisme.

"Intervensi awal akan membantu kanak-kanak autisme berdikari dan menguruskan diri selain menjadi persediaan kepada mereka untuk masuk ke alam persekolahan.

"Penganjuran karnival di tempat awam juga bertujuan memberi kesedaran dan advokasi kepada ibu bapa terutamanya yang mempunyai anak autisme dari segi kaedah mengurus dan keperluan sokongan pendidikan," katanya.

Beliau menjelaskan, pendidikan mengenai autisme dalam kalangan masyarakat semakin meluas dengan adanya teknologi terkini selain kaedah yang diperkenalkan pihak berkepentingan dari dalam dan luar negara.

Justeru katanya, simptom penyakit berkenaan dapat dikenal pasti lebih awal sekali gus membantu membentuk diri kanak-kanak untuk lebih berdikari dan melaksanakan tugas tanpa bantuan.

Kanak-kanak menyertai pelbagai aktiviti menarik yang disediakan sempena KLIA 2024. Foto MOHD HALIM ABDUL WAHID-Sinar Harian
Kanak-kanak menyertai pelbagai aktiviti menarik yang disediakan sempena KLIA 2024. Foto MOHD HALIM ABDUL WAHID-Sinar Harian

Tiada pelajar terpinggir

Peruntukan terbesar iaitu RM64.1 bilion yang diterima KPM menerusi Belanjawan 2025 membuktikan tiada pelajar terpinggir untuk mendapatkan bantuan dan kemudahan di sekolah.

Fadhlina berkata, peruntukan itu merupakan komitmen besar untuk kementerian itu dalam memastikan sistem pendidikan negara terus cekap.

"Anak-anak kita semua dapat manfaat yang cukup besar seperti (mendapat) sekolah baharu.

"Kemudian inisiatif melibatkan kantin (dan) surau, termasuk di Sabah dan Sarawak (untuk) meneruskan komitmen baiki sekolah-sekolah daif,” ujarnya.

KLIA 2024 memberi input dan perkhidmatan sokongan kepada ibu bapa dalam merancang hala tuju MBPK. Foto MOHD HALIM ABDUL WAHID-Sinar Harian
KLIA 2024 memberi input dan perkhidmatan sokongan kepada ibu bapa dalam merancang hala tuju MBPK. Foto MOHD HALIM ABDUL WAHID-Sinar Harian

Dalam pada itu katanya, Belanjawan 2025 jelas mengangkat kepentingan pendidikan MBPK sekali gus memastikan kesejahteraan golongan berkenaan.

Antara inisiatif utama kepada MBPK adalah kelulusan pembinaan 11 Pusat Permata baharu di seluruh negara termasuk di Terengganu, Kelantan, Sabah dan Sarawak.

Menurutnya, RM300 juta turut diperuntukkan bagi pembinaan dua sekolah pendidikan khas iaitu di Johor dan Sabah selain RM200 juta disediakan bagi tujuan Elaun Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (EMBK).

"Pemberian EMBK sebanyak RM150 sebulan memberi manfaat kepada 110,000 orang MBPK termasuk murid autisme.

"Secara keseluruhannya saya sifatkan sebagai belanjawan yang memenuhi keperluan semua anak-anak kita,” katanya.

REAKSI

"Menerusi KLIA 2024, masyarakat yang ada ahli keluarga menghidap autisme diberikan kesedaran untuk mendapatkan kad orang kurang upaya (OKU) supaya mereka menerima manfaat pelbagai inisiatif kerajaan.”

Mustafah Abd Rauf, Unit OKU JKM

Mustafah
Mustafah

“Kami membuka mata masyarakat bahawa golongan autisme juga mampu berdikari dan berbakat sekiranya diberikan peluang."

Mohd Adli Yahya, Pengasas Autism Care Project

Mohd Adli
Mohd Adli

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!