Aktivis haiwan perlu bantu PBT elak insiden Kopi tak berulang

Laporan Sinar Harian
Laporan Sinar Harian
A
A
A

KISAH anjing terbiar di jalanan dikenali sebagai Kopi yang mati ditembak oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) di Terengganu baru-baru ini mengundang reaksi pelbagai pihak termasuk orang awam.

Insiden tersebut membuka mata banyak pihak mengenai realiti nasib haiwan jalanan. Memang tidak dinafikan, kehadiran haiwan liar ini adakala mengancam keselamatan dan mengganggu keselesaan orang ramai, lebih-lebih lagi kepada mereka yang takut dengan anjing tidak bertuan.

Justeru, Merak Jalanan sarankan kepada aktivis dan pencinta haiwan supaya mempertingkatkan usaha menyelamatkan anjing-anjing terbiar di jalanan terutama di kawasan bandar.

Penyelesaian terhadap masalah anjing terbiar bukan terletak kepada bahu PBT semata-mata. Malah, terdapat undang-undang membenarkan mereka melupuskan anjing termasuk yang berlesen jika pemiliknya gagal ditemui.

Jadi, untuk mengelakkan kejadian seperti berlaku pada Kopi berulang, Merak Jalanan percaya inisiatif seperti kempen pengambilan haiwan angkat boleh membantu.

Lebih ramai yang mengambil haiwan peliharaan angkat, maka jumlah haiwan terbiar yang terdedah kepada bahaya di jalanan juga akan berkurang.

Namun Merak Jalanan difahamkan, di beberapa bandar besar, sudah ada usaha menubuhkan pusat-pusat perlindungan haiwan, tetapi kapasiti yang terhad sering kali menjadi masalah.

Oleh itu, sokongan pelbagai pihak termasuk kerajaan, syarikat swasta dan pencinta haiwan amat diperlukan untuk menambah baik dan memperluas kemudahan sedia ada.

Artikel Berkaitan:

Bagi Merak Jalanan, kisah sedih yang menimpa Kopi tidak sepatutnya berulang. Tapi tidak sewajarnya apabila Kopi mati ditembak, aktivis dan pencinta haiwan menuding jari menyalahkan PBT sepenuhnya di atas tindakan yang diambil berlandaskan peruntukan undang-undang.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!