Jana ekonomi domestik lebih RM15 bilion
SHAH ALAM - Peningkatan bantuan tunai dan kenaikan gaji minimum kepada kumpulan miskin dijangka menjana ekonomi domestik lebih RM15 bilion, mengambil kira kesan pengganda daripada perbelanjaan bantuan serta inisiatif tersebut oleh rakyat.
Penganalisis Ekonomi Pusat Pendidikan Kewangan Islam Antarabangsa (INCEIF), Profesor Dr Baharom Abdul Hamid berkata, anggaran tersebut mengambil kira tambahan bantuan tunai yang diterima menerusi Sumbangan Tunai Rahmah (STR), kenaikan jumlah penerima Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan peningkatan kadar gaji minimum.
“Kecairan sekurang-kurangnya RM15 bilion dijangka mengalir dalam ekonomi domestik negara menerusi tambahan bantuan dan peningkatan gaji minimum kerana dari sudut prinsip ekonomi, perbelanjaan yang dibuat akan beri kesan pengganda.
“Ini kerana orang miskin akan menggunakan wang sumbangan dan gaji mereka untuk beli keperluan harian serta barang tempatan,” katanya ketika dihubungi pada Ahad.
Ketika membentangkan Belanjawan 2025 pada Jumaat lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan meningkatkan peruntukan STR dan SARA kepada RM13 bilion berbanding RM10 bilion sebelum ini yang bakal memanfaatkan sembilan juta penerima atau 60 peratus penduduk dewasa negara.
Ujarnya, tambahan peruntukan RM3 bilion membolehkan kadar maksimum STR yang diterima isi rumah meningkat daripada RM3,700 kepada RM4,600 manakala bagi individu bujang naik kepada RM600.
Anwar yang juga Menteri Kewangan turut mengumumkan kerajaan bersetuju menaikkan kadar gaji minimum kepada RM1,700 sebulan berkuat kuasa 1 Februari 2025.
Mengulas lanjut mengenai anggaran kecairan, Baharom menjelaskan, ia sekadar berasaskan tambahan RM100 bagi STR, tambahan jumlah penerima SARA dan RM200 tambahan gaji minimum.
“Jika RM100 didarab dengan enam juta penerima STR, ia akan jadi RM600 juta dan sekiranya digandakan dengan kesan pengganda ekonomi negara yang saya lihat berada pada gandaan tujuh bagi setiap RM1, kecairannya akan jadi sekitar antara RM3.5 bilion hingga RM5.5 bilion.
“Bagi SARA, kecairannya sekitar RM3 bilion hingga RM5 bilion dan untuk gaji minimum pula antara RM3 bilion hingga RM5 bilion. Oleh itu bagi ketiga-tiga tambahan bantuan ini dijangka menggerakkan ekonomi antara RM10 bilion hingga lebih RM15 bilion,” ujarnya.
Menurut Baharom, kesan pengganda sememangnya akan berlaku dalam pembelian di setiap peringkat yang menggerakkan ekonomi negara.
“Contoh kesan pengganda ini seperti kalau kita beli seekor ayam segar daripada gaji yang naik itu, tauke ayam akan dapat untung dan dia akan berbelanja lebih, misalnya dengan beli kasut. Tauke kasut pula akan berbelanja lebih dengan bawa anak makan di restoran.
“Kesan pengganda ini akan kita dapat lihat terus pada tahun depan dengan adanya peningkatan pendapatan boleh guna ini,” jelas beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!