Kos urus negara juga semakin meningkat

Belanjawan 2025 diiktiraf belanjawan terbesar dalam sejarah negara.
Belanjawan 2025 diiktiraf belanjawan terbesar dalam sejarah negara.
A
A
A

BUKAN rakyat sahaja yang terpaksa mengikat perut berjimat bagi menanggung kos sara hidup ketika ini, sebaliknya kerajaan juga sedang bergelut mengawal perbelanjaan ekoran ketidakstabilan ekonomi dunia.

Seperti negara lain, Malaysia tidak terkecuali berdepan cabaran besar bagi mengukuhkan nilai mata wang dan bertungkus-lumus berusaha menambah pendapatan dengan pelbagai strategi.

Melihat kepada jumlah RM403.7 bilion yang diperuntukkan dalam Belanjawan 2025, jelas menunjukkan kos mengurus negara meningkat saban tahun selain dibebani hutang.

Angka tersebut merupakan yang tertinggi dalam sejarah negara berbanding Belanjawan 2024 sebanyak RM393.8 bilion, manakala 2023 (RM388.1 bilion), 2022 (RM332.1 bilion), 2021 (RM322.5 bilion) dan 2020 (RM297 bilion).

Peningkatan peruntukan adalah bagi memastikan kebajikan 34 juta rakyat terus terbela apabila bukan sahaja kadar bantuan sedia ada ditambah, malah beberapa sumbangan baharu diperkenalkan mengikut keperluan semasa. Sudah pasti ia memerlukan peruntukan yang besar, meskipun boleh memberi tekanan kepada kewangan negara.

Bagaimanapun, Belanjawan 2025 tetap fokus kepada pertumbuhan ekonomi mampan dan pengagihan kekayaan lebih adil apabila golongan T15 yang digelar sebagai maha kaya tidak lagi mendapat subsidi tertentu seperti bahan api serta pendidikan.Justeru, rasionalisasi subsidi dan pengenalan sistem cukai yang lebih adil terhadap golongan maha kaya dilihat mampu mengukuhkan kewangan negara.

Pelaburan dalam semua sektor utama terus diperkasakan dan beberapa projek pembangunan rakyat bakal merangsang perkembangan ekonomi domestik selain bantuan untuk perniagaan kecil dan sederhana.

Kenaikan gaji minimum daripada RM1,500 kepada RM1,700 memberi kelegaan kepada pekerja namun majikan wajar menyemak kadar upah pekerja lama dan mempunyai tahap pendidikan tinggi agar lebih adil.

Artikel Berkaitan:

Pada masa sama, usaha memerangi rasuah dalam pengurusan kewangan awam perlu dipertingkatkan supaya peruntukan belanjawan digunakan dengan berkesan tanpa ketirisan.

Realitinya, kos urus negara yang semakin meningkat menjadi cabaran utama yang perlu dihadapi oleh kerajaan. Dengan pendekatan yang komprehensif dan berfokus, rakyat berharap negara dapat menghadapi cabaran ini dan terus bergerak ke arah pertumbuhan mampan serta inklusif.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!