PDAM saran guna PADU salur subsidi minyak
SHAH ALAM - Persatuan Pengusaha-Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM) menyarankan kerajaan melaksanakan pemberian bantuan terus kepada penerima berdasarkan data Pangkalan Data Utama (PADU) untuk mengenal pasti golongan yang layak mendapat minyak bersubsidi.
Setiausaha Agung PDAM, Bashir Abdul Razak berkata, cara itu dilihat dapat mengekalkan proses pembelian sedia ada, menjimatkan kos peralatan, kos pengurusan pembayaran balik dan risiko kelewatan pembayaran balik subsidi.
“Tentang kemungkinan pembeli perlu touch MyKad PDAM berpendapat cadangan itu masih di peringkat perbincangan.
“Ini kerana setakat ini belum ada makluman daripada pihak kerajaan atau syarikat minyak kepada kami,” katanya ketika dihubungi di sini pada Ahad.
Menurutnya, PDAM dengan tegas turut menyatakan sokongan kepada semua langkah atau program yang disarankan oleh kerajaan.
“Tetapi dengan syarat tiada kos tambahan di pihak kami dan tidak ada gangguan terhadap kelancaran proses pembelian oleh pelanggan di stesen minyak,” katanya.
Pada pembentangan Belanjawan 2025 Jumaat lalu, kerajaan bercadang untuk melaksanakan penyasaran subsidi petrol RON95 pada pertengahan tahun 2025 dengan anggaran sekitar RM12 bilion untuk 85 peratus rakyat Malaysia.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sesuatu yang tak dapat disangkal ialah warga asing dan 15 peratus teratas pengguna mahakaya menikmati 40 peratus subsidi petrol RON95 bernilai RM8 bilion.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!