Empat along terlibat jenayah khianat dicekup

Polis menahan empat lelaki tempatan dalam satu operasi besar-besaran terhadap satu sindiket along disyaki terlibat dalam jenayah khianat simbah cat dan khianat dengan api di beberapa premis perumahan di sekitar negeri ini. Gambar hiasan (Gambar kecil: Hamzah)
Polis menahan empat lelaki tempatan dalam satu operasi besar-besaran terhadap satu sindiket along disyaki terlibat dalam jenayah khianat simbah cat dan khianat dengan api di beberapa premis perumahan di sekitar negeri ini. Gambar hiasan (Gambar kecil: Hamzah)
A
A
A

GEORGE TOWN - Polis menahan empat lelaki tempatan dalam satu operasi besar-besaran terhadap satu sindiket along disyaki terlibat dalam jenayah khianat simbah cat dan khianat dengan api di beberapa premis perumahan di sekitar negeri ini.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, kesemua suspek berusia lingkungan 23 hingga 28 tahun ditahan pada Khamis lalu di beberapa lokasi berasingan di Perak, Kedah dan Pulau Pinang.

Menurutnya, keempat-empat suspek dipercayai menjalankan kegiatan pinjaman wang tanpa lesen melibatkan along tempatan serta pinjaman wang dalam talian.

"Mereka ini juga disyaki terlibat dalam jenayah khianat seperti simbah cat dan membakar.

"Hasil siasatan awal mendapati, kesemua suspek mengaku terlibat dalam 27 kes simbah cat dan khianat dengan api yang melibatkan enam negeri iaitu Pulau Pinang, Kedah, Perak, Selangor, Kuala Lumpur dan Melaka," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Tambah Hamzah, dalam operasi tersebut, polis berjaya merampas beberapa barangan antaranya satu set daftar perniagaan Suruhanjaya Syarikat Malaysia atas nama syarikat yang dipercayai digunakan untuk menjalankan aktiviti pinjaman wang tanpa lesen.

"Kita juga merampas sebuah buku cek syarikat, sebuah buku catatan yang mengandungi senarai nama peminjam wang, empat buah telefon bimbit dan sebuah kereta Honda City.

"Pemeriksaan ke atas telefon bimbit yang dirampas turut menemui 24 rakaman video jenayah simbah cat dan khianat yang direkodkan oleh suspek semasa melakukan perbuatan tersebut di beberapa lokasi berasingan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ujar beliau, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan, Seksyen 435 Kanun Keseksaan, Seksyen 436 Kanun Keseksaan dan Seksyen 29AA Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951.

"Saya menasihati orang ramai agar membuat laporan polis sekiranya diganggu atau menerima ugutan daripada mana-mana along supaya tindakan sewajarnya dapat diambil," tambahnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!