'Tak pernah kesal, sedih miliki anak autisme'

Ada yang memiliki anak autisme dan sesetengahnya pada tahap hiper hingga agak sukar dikendalikan. Foto hiasan
Ada yang memiliki anak autisme dan sesetengahnya pada tahap hiper hingga agak sukar dikendalikan. Foto hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Semua ibu bapa pastinya mahukan anak yang sempurna dalam pelbagai aspek khususnya dari segi mental dan fizikal agar mampu menjadi insan dibanggakan untuk keluarga serta masyarakat.

Namun, tidak semua yang diingini selari dengan kemahuan dan takdir Ilahi menentukan segala-gala termasuk sebilangan mereka memiliki anak dikategorikan sebagai orang kurang upaya (OKU).

Antaranya, ada yang memiliki anak autisme dan sesetengahnya pada tahap hiper hingga agak sukar dikendalikan.

Bagi seorang tenaga pengajar, Suhailili Mansur, 44, yang hanya menyedari anak tunggal lelakinya, Izz Iskandar Lokman mempunyai simptom autisme ketika usia dua tahun, turut melalui pelbagai rencam ketika awal membesarkannya.

"Ketika itu saya melihat anak tidak bercakap, tidak memberi reaksi apabila dipanggil, selain tiada hubungan mata apabila bertentangan mata dengannya.

"Apabila membuat pemeriksaan, dia memang disahkan autisme dan kami akur menerima dengan baik dan tidak pernah kesal memilikinya," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Tambah Suhailili, sebelum anaknya didiagnosis autisme, dia menghantar anaknya ke sebuah tadika biasa berhampiran rumahnya.

Ujarnya, guru di tadika tersebut memintanya membawa anak membuat pemeriksaan kerana sentiasa tidak fokus di dalam kelas.

Artikel Berkaitan:

"Ketika itu perasaan saya sangat sedih kerana merasakan seperti mereka tidak boleh menerima anak saya, namun selepas mengetahui keadaannya, saya akur," katanya.

Tanpa membuang masa, dia mencari ahli terapi untuk membantu anaknya yang kini berusia tujuh tahun untuk membantu proses pembelajaran dan pelbagai kemahiran lain.

"Alhamdulillah, perlahan-lahan anak saya menunjukkan perubahan positif setiap hari terutama dari segi kemahiran berkomunikasi.

"Saya teruja melihat perkembangannya ketika ini kerana dia boleh bercakap dan menguruskan diri walaupun tidak sempurna seperti anak seusianya," katanya.

Perkembangan baik ditunjukkan anaknya itu sudah cukup baginya kerana ia adalah permulaan untuknya berdikari dan berharap mampu menjadi insan berjaya apabila meningkat dewasa.

Sementara itu, pesan Suhailili buat ibu bapa yang memiliki anak OKU dalam apa juga kategorinya, jangan sedih dan putus asa sebaliknya berikan perhatian untuk pembangunannya demi masa depan mereka.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!