Peralihan kuasa: Dr Mahathir, Anwar perlu isytihar jumlah sokongan
IPOH - Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu mengisytihar jumlah sokongan yang diterima untuk menentukan sama ada peralihan kuasa perlu dilakukan atau sebaliknya.
Naib Pengerusi DAP Perak, Dr Abdul Aziz Bari berkata, jumlah sokongan terutama dalam kalangan Ahli Parlimen itu penting untuk menamatkan isu berkaitan peralihan kuasa tersebut.
Menurutnya, pemimpin Pakatan Harapan (PH) tidak boleh terus berdiam diri berhubung isu peralihan kuasa ini dan harus segera menyelesaikannya.
"Ahli-ahli Parlimen PH perlu proaktif kena nyatakan sokongan kerana rakyat sudah tidak sabar, tidak selesa. Pemimpin dalam PH perlu bertanggungjawab untuk menentukan siapa perdana menteri.
"Jika jelas Anwar mendapat sokongan 112 Ahli Parlimen sebagai perdana menteri, Dr Mahathir kena letak jawatan. Dia tidak boleh terus memegang jawatan itu lagi," katanya kepada pemberita selepas hadir sebagai ahli panel program Bual Bicara Reformis di sebuah hotel di sini malam tadi.
Hadir sama sebagai ahli panel pada program tersebut, Pengerusi Gerakan Reformis Anak Perak, Zulkifly Ibrahim; Pengerusi Otai Reformis Perak, Mustafa Mansor dan penulis, Shahbudin Husin.
Beliau berkata, jika 112 Ahli Parlimen menyatakan sokongan kepada Anwar, undi tidak percaya tidak perlu dilakukan kerana ia hanyalah sebagai formaliti.
Dalam pada itu Abdul Aziz berkata, perubahan kepimpinan secara aman dan teratur penting untuk menunjukkan kepada dunia bahawa Malaysia sebuah negara yang bertamadun.
"Keadaan sangat penting untuk meneruskan ranking kita yang baik seperti ranking demokrasi kita naik, ranking kebebasan media kita naik, ranking mesra pelabur kita naik dan banyak lagi.
"Perubahan kepimpinan yang baik dan teratur itu adalah satu lagi perkara yang melonjakkan nama Malaysia di persada antarabangsa," katanya yang juga Exco Kerajaan Perak.
Sementara itu, Zulkifly ketika forum berkenaan berkata, Gerakan Reformis Anak Perak akan berjumpa dengan Majlis Presiden PH untuk menyatakan pendirian akar umbi bahawa peralihan kuasa perlu dipercepatkan.
Beliau berkata, pihaknya juga sedia memulakan gerakan mendesak Dr Mahathir segera menyerahkan kuasa kepada Anwar.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!