Kenakan levi petrol kepada T15 lebih mudah - Eric See-To

Kerajaan bercadang melaksanakan penyasaran subsidi petrol RON95 pertengahan tahun 2025. (Gambar kecil: Eric) Foto hiasan
Kerajaan bercadang melaksanakan penyasaran subsidi petrol RON95 pertengahan tahun 2025. (Gambar kecil: Eric) Foto hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan disaran mengenakan levi petrol terhadap golongan maha kaya (T15) ketika mereka memperbaharui cukai jalan berbanding melaksanakan kaedah harga dua peringkat subsidi RON95.

Bekas Timbalan Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional (BN), Datuk Eric See-To berkata, tindakan pentadbiran yang mahu menghapuskan subsidi RON95 bagi T15 akan merumitkan stesen petrol dan pengguna kelak.

“Ini adalah idea kurang bijak yang akan merumitkan stesen petrol dan pengguna ketika isi minyak serta menambah kos kepada proses menjual petrol.

“Kenapa 85 peratus rakyat dan stesen petrol dirumitkan hanya sebab mahu kenakan 15 peratus (golongan T15)?

“Sekiranya kerajaan sudah kenal pasti siapa T15, kenapa tidak kenakan sahaja levi petrol ke atas golongan ini ketika mereka memperbaharui cukai jalan?” soalnya dalam satu kenyataan di Facebook pada Ahad.

Eric merupakan salah seorang pengendali akaun Facebook bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan beliau juga yang mengendalikan laman sosial itu dengan menggunakan nama Lim Sian See.

Pada 30 September lalu, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli menjemput Eric sebagai tetamu untuk berdebat bersamanya dalam Program ‘Yang Bakar Menteri’ bagi membahaskan perihal ekonomi negara.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Pandan itu memaklumkan bahawa kerajaan sedang memperhalusi mekanisme untuk melaksanakan kaedah harga dua peringkat bagi penyasaran subsidi petrol RON95.

Artikel Berkaitan:

Mengulas mengenai cadangan mengenakan levi petrol itu, Eric berkata, kerajaan boleh mengenakan levi petrol berdasarkan jumlah isian minyak tahunan yang dilakukan oleh T15.

“Jika T15 mengisi minyak sebanyak 50 liter seminggu atau 2,500 liter setahun dengan kadar subsidi RM1 untuk setiap liter maka kerajaan boleh mengenakan levi petrol sebanyak RM2,500 ke atas lesen kenderaan T15.

“Sekiranya mereka benar-benar daripada golongan T15 atau mampu membeli kereta melebihi RM300,000, saya rasa ia bukan masalah untuk mereka membayar RM2,500 setahun bagi setiap kenderaan milik mereka,” ujarnya,

Dengan cara itu, Eric menjelaskan bahawa kerajaan hanya ada satu harga petrol bersubsidi di stesen minyak dan masih berupaya mengutip wang sebagai kos subsidi bagi golongan T15.

Tambahnya, kaedah lain boleh dipraktikkan adalah dengan menggunakan Budi Madani bagi harga diesel yang mana ia diapungkan tetapi 85 peratus rakyat Malaysia layak menerima bayaran bulanan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!