Selaras waktu penginapan hotel sukar dilaksana - MyBHA Perak

Pengusaha hotel digesa selaraskan semula masa daftar masuk dan keluar bagi memastikan pengguna menerima waktu penginapan sekurang-kurangnya 23 jam sehari. Foto hiasan. Gambar kecil: Zamari
Pengusaha hotel digesa selaraskan semula masa daftar masuk dan keluar bagi memastikan pengguna menerima waktu penginapan sekurang-kurangnya 23 jam sehari. Foto hiasan. Gambar kecil: Zamari
A
A
A

IPOH - Gesaan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya agar pengusaha hotel menyelaras penginapan 23 jam kepada pelanggan agak sukar untuk dilaksanakan.

Pengerusi Persatuan Hotel Budget Malaysia (MyBHA) Perak, Zamari Muhyi berkata, pengusaha hotel berdepan pelbagai cabaran ketika ini untuk melaksanakan perkara tersebut.

Menurutnya, masalah utama yang dihadapi adalah kekurangan pekerja dalam kalangan warga tempatan bagi sektor tersebut.

"Waktu masuk dan keluar pelanggan ini memang sukar diselaraskan kerana polisi dan keadaan fizikal sesebuah hotel berbeza serta jumlah bilik tidak sama.

"Jadi kami memang tidak sehaluan pendapat mengenai cadangan penyelarasan ini," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Zamari berkata, cadangan tersebut hanya dapat direalisasikan dengan tambahan tenaga kerja perkemasan.

Jelasnya, namun ia agak sukar dilaksanakan tambahan keputusan kerajaan mengumumkan kenaikan gaji minimum RM1,700 sebulan.

"Jika kerajaan bertegas mahu melaksanakannya, mereka kena bantu pengusaha untuk dapatkan tenaga kerja asing bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh pekerja tempatan.

Artikel Berkaitan:

"Selain itu, kenaikan gaji minimum ini akan menambah kos operasi secara keseluruhan pengusaha penginapan berdaftar dan berlesen," katanya.

Justeru itu beliau mengharapkan kerajaan khususnya Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya memikirkan sesuatu untuk membantu industri perhotelan di negara ini.

Katanya, insentif wajar diberikan kepada pengusaha dalam bentuk geran atau bantuan operasi dalam mengurangkan beban.

Pada Ahad, media melaporkan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing dalam satu kenyataan menggesa pengusaha hotel menyelaraskan semula masa daftar masuk dan keluar bagi memastikan pengguna menerima waktu penginapan sekurang-kurangnya 23 jam sehari.

Beliau berkata, penginapan 23 jam sehari merupakan perkara biasa di luar negara dan perkara itu tidak menjejaskan soal kebersihan atau kualiti penginapan, malah pengguna juga merasakan wang yang dibelanjakan berbaloi dengan perkhidmatan diterima.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!