Dua kes salah guna RM63,605.48 infak Alif Teega ke Shah Alam

Alif (kanan) hadir ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Isnin, bersama Aisyah bagi prosiding sebutan kes salah guna harta infak dan korban, April lalu.
Alif (kanan) hadir ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Isnin, bersama Aisyah bagi prosiding sebutan kes salah guna harta infak dan korban, April lalu.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin, membenarkan dua kes salah guna harta bagi program infak iftar dan korban, berjumlah RM63,605.48 membabitkan pempengaruh, Alif Teega dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam.

Hakim, Azura Alwi memutuskan demikian selepas Timbalan Pendakwa Raya, Julaila Jamaludin membuat permohonan berkenaan.

Semasa sebutan kes, Julaila berkata, prosiding lalu menetapkan Isnin untuk serahan dokumen namun pihaknya memohon agar kes ini dipindahkan ke Shah Alam untuk dibicarakan bersama 10 kes lain dihadapi Alif atau nama sebenarnya, Mohd Hazalif Mohd Hazani, 30.

“Permohonan dibuat mengikut Seksyen 61 Akta SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia),” katanya.

Mendengar perkara itu, peguam, Mohd Shahrullah Khan yang mewakili Mohd Hazalif, tidak membantah berhubung perkara itu.

“Jika dibenarkan, saya mohon mahkamah menetapkan tarikh sebutan lebih awal, untuk serahan kes ini, ke sana.

“Ini kerana kami akan membuat permohonan untuk mendapatkan semula pasport sementara yang disimpan oleh mahkamah,” katanya.

Azura kemudiannya menetapkan sebutan kes itu pada Rabu ini.

Artikel Berkaitan:

Pada 20 September lalu, lelaki terbabit didakwa atas dua pertuduhan di Mahkamah Sesyen di sini, secara tidak jujur menyalahgunakan wang RM36,047.35 bagi tujuan infak iftar di Makkah, Syria dan Palestin di CIMB Bank, KL Gateway, di sini pada 26 April lalu.

Mengikut pertuduhan pertama, lelaki terbabit didakwa secara tidak jujur menyalahgunakan wang RM36,047.35 bagi tujuan infaq iftar di Makkah, Syria dan Palestin di CIMB Bank, KL Gateway, di sini pada 26 April lalu.

Sementara pertuduhan kedua, dia dituduh menyalahgunakan wang RM27,558.13 bagi program 'Jom! sertai infaq daging Qurban' di bank sama, 15 Jun lalu.

Pada 23 September lalu, Mohd Hazalif dan isterinya, Aisyah Hijanah Azhari, 26, didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam, Selangor, atas 10 kes bersama-sama secara tidak jujur menyalahgunakan wang sedekah RM1,526,372.16 sejak tiga tahun lalu.

Mengikut semua pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama, secara tidak jujur menyalahgunakan wang sedekah bagi jumlah berkenaan, dengan nilai terendah ialah RM438.38 sementara tertinggi RM425,890.64.

Ia membabitkan 10 program sedekah iaitu pek makanan, kurma, korban, al-Quran dan set pakaian untuk orang miskin di Makkah serta Madinah, termasuk anak yatim, mangsa banjir di Pantai Timur di Maybank dan CIMB Bank, Bandar Baru Bangi, di sini antara 11 Mei 2021 hingga 2 Julai lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang membawa hukuman penjara antara enam bulan hingga lima tahun, sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!