Lelaki gagal seludup 900kg beras dalam kereta
KOTA BHARU - Tindakan penyeludup menyumbat 900 kilogram (kg) beras dari Thailand di dalam Perodua Myvi membawa padah apabila ia berjaya dihidu oleh Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kuala Terengganu di pangkalan haram Budin, Tumpat pada Ahad.
Rampasan terbabit dilakukan pada jam 7.05 pagi menerusi Op Taring Wawasan selepas anggota PGA mengesan sebuah kereta yang dipandu seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan.
Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid bagaimanapun berkata, semasa ditahan suspek telah bertindak melarikan diri dengan meninggalkan kereta terbabit di tepi jalan.
"Hasil pemeriksaan telah menemui 900kg beras dipercayai diseludup dari negara jiran tanpa dokumen sah.
"Anggaran nilai rampasan beras terbabit ialah RM3,700 serta kenderaan RM15,000," katanya pada Isnin.
Menurut beliau, kes disiasat bawah Seksyen 20 Akta Kawal Selia Padi dan Beras 1994 dan kesemua barangan rampasan diserahkan kepada Kompeni Taktikal (Komtak) Pengkalan Kubor untuk tindakan selanjutnya.
Dalam perkembangan lain, Nik Ros Azhan memberitahu, pada hari yang sama pada jam 9 pagi di pangkalan haram Jeram Perdah 2, Rantau Panjang, Batalion 8 PGA Pengkalan Chepa telah merampas 500kg beras dipercayai diseludup dari Thailand.
Ujarnya, semasa melakukan penugasan Op Taring Wawasan anggota telah menahan sebuah kereta jenis Proton Wira yang dipandu seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan.
Beliau berkata, semasa ditahan suspek bertindak melarikan diri dan meninggalkan kereta di tepi jalan.
"Hasil pemeriksaan ke atas kereta terbabit menjumpai 500kg beras tanpa dokumen yang sah.
"Anggaran nilai rampasan beras terbabit ialah RM2,000 manakala kenderaan RM9,000," katanya.
Menurut beliau, kes disiasat bawah Seksyen 20 Akta Kawal Selia Padi dan Beras 1994 barangan rampasan diserahkan ke Komtak Jeram Perdah untuk tindakan selanjutnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!