Usul Skim Perumahan Belia, bantu orang muda miliki rumah pertama

Ashraf
Ashraf
A
A
A

IPOH - Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang Tambun mencadangkan kerajaan negeri mewujudkan Skim Perumahan Belia untuk golongan muda memiliki rumah pertama mereka.

Ketuanya, Ashraf Kahasani berkata, cadangan tersebut dilihat wajar untuk dilaksanakan bagi membolehkan golongan belia memiliki rumah lebih awal.

Jelas beliau, kawasan Parlimen Tambun boleh dijadikan projek perintis skim berkenaan bagi peringkat permulaan sebelum diperluas ke kawasan lain.

"Perkara ini juga telah dibincangkan bersama Pejabat Tanah dan Galian Negeri Perak baru-baru ini untuk mencari tanah kerajaan di dalam kawasan Parlimen Tambun yang berpotensi untuk dijadikan sebagai tapak cadangan Skim Perumahan Belia Tambun.

"Skim ini juga merupakan skim perumahan mampu milik dan akan menyasarkan kepada belia-belia di kawasan Parlimen Tambun khususnya yang tidak pernah memilik rumah," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Ashraf berharap cadangan tersebut dapat dipertimbangkan bagi memberikan peluang terbaik kepada belia di dalam kawasan Parlimen Tambun yang merupakan kawasan diwakili Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam pada itu, beliau yang juga Timbalan Pengerusi AMK Perak turut mencadangkan penubuhan Jawatankuasa Pembangunan Belia Tambun bagi merancang pembangunan anak muda agar lebih produktif dalam pembangunan sosio-ekonomi dikawasan Parlimen tersebut.

Artikel Berkaitan:
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!