Polis tahan 152 mat rempit, bawa solat Subuh berjemaah, tazkirah

Polis mengambil pendekatan keagamaan dan ilmiah kepada remaja yang ditahan dalam Op Samseng Jalanan di ibu negara. Foto: JSPT KL
Polis mengambil pendekatan keagamaan dan ilmiah kepada remaja yang ditahan dalam Op Samseng Jalanan di ibu negara. Foto: JSPT KL
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 152 mat rempit yang ditahan polis di Jalan Tun Razak, di sini, dibawa menunaikan solat Subuh berjemaah dan diberi tazkirah.

Kesemua mereka berusia 15 hingga 24 tahun itu ditahan menerusi Op Samseng Jalanan yang dilaksanakan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur bermula jam 11 malam, Sabtu.

Ketua JSPT Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, operasi yang dibuat secara berperingkat sehingga jam 5 pagi itu telah menyita sebanyak 68 motosikal hasil pemeriksaan 152 motosikal sementara baki motorsikal tersebut telah dikeluarkan saman.

Katanya, dalam operasi tersebut seramai 152 orang telah dibawa ke JSPT KL dan diambil tindakan saman, manakala motosikal yang disita akan dibuat pemeriksaan selanjutnya oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) dalam masa terdekat.

JSPT Kuala Lumpur membawa penunggang motosikal yang ditahan dalam Op Samseng Jalanan di ibu negara, bagi mendengar tazkirah serta menunaikan solat Subuh berjemaah, pada Ahad. Foto: JSPT KL
JSPT Kuala Lumpur membawa penunggang motosikal yang ditahan dalam Op Samseng Jalanan di ibu negara, bagi mendengar tazkirah serta menunaikan solat Subuh berjemaah, pada Ahad. Foto: JSPT KL

"Kesemua mereka juga telah dibawa menunaikan solat Subuh berjemaah dan tazkirah yang memberi fokus ke arah kesedaran tentang keburukan merempit selain keselamatan diri serta pengguna jalan raya yang lain.

"Tazkirah ini telah disampaikan oleh Asisten Superintenden Zamri Basiran dan Inspektor Abdullah Hafiz dari Unit Penguatkuasaan JSPT KL," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Tambahnya, pendekatan secara keagamaan dan ilmiah kepada remaja ini diharapkan dapat membantu remaja warisan negara ini untuk menunjukkan akhlak yang mulia kepada masyarakat.

Artikel Berkaitan:

Kata beliau, ibu bapa disarankan agar memberi lebih perhatian dalam mendidik anak-anak dan menjadikan mereka rakan untuk berkongsi pengalaman dan masalah yang mereka hadapi.

Polis mengambil pendekatan keagamaan dan ilmiah kepada remaja yang ditahan dalam Op Samseng Jalanan di ibu negara. Foto: JSPT KL
Polis mengambil pendekatan keagamaan dan ilmiah kepada remaja yang ditahan dalam Op Samseng Jalanan di ibu negara. Foto: JSPT KL

"Ibu bapa juga digalakkan untuk memastikan anak-anak ini tidak terlalu bebas untuk keluar tengah malam tanpa alasan munasabah terutama sekali bagi remaja perempuan.

"Secara tidak langsung ianya dapat mengurangkan fokus mereka terhadap aktiviti yang melanggar undang-undang lalu lintas," ujarnya.

Tegasnya, pihak JSPT sentiasa menjalankan operasi yang melibatkan kenderaan selain motosikal dan tiada kompromi bagi kesalahan melibatkan samseng jalanan untuk memastikan keselamatan pengguna lain terjaga dan tindakan akan diambil di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Kesalahan yang kerap kali berlaku adalah aktiviti merempit dan berlumba sesama sendiri, ubah suai motosikal antaranya melibatkan tayar dan ekzos," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!