Rumah transit seludup minyak petrol ke Thailand diserbu
RANTAU PANJANG - Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kuantan menyerbu sebuah rumah di Kampung Terusan di sini pada Ahad yang dijadikan sebagai transit sebelum minyak petrol diseleweng ke negara jiran.
Dalam serbuan jam 2.45 pagi itu PGA turut menahan seorang lelaki berusia 23 tahun dipercayai menjadi penghantar untuk menyeludup bahan bakar tersebut ke negara jiran.
Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, hasil pemeriksaan terhadap rumah terbabit telah menemui 660 liter minyak petrol yang disimpan di dalam sebuah stor.
"Selain itu, kita turut merampas dua unit penimbang, seunit pam penyedut minyak dan telefon bimbit.
"Anggaran nilai rampasan peralatan ialah RM2,240 manakala minyak petrol RM1,353," katanya pada Isnin.
Menurut beliau, kes disiasat bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan hasil rampasan diserahkan ke Balai Polis Rantau Panjang untuk tindakan selanjutnya.
Ujarnya, serbuan terbabit dibuat hasil maklumat penyeludupan penugasan Op Taring Wawasan.
"Kami (PGA) terus mempergiatkan usaha bagi mengekang kegiatan penyeludupan dari terus berleluasa di sempadan negara," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!