Laut China Selatan selamat, terbuka kepada komuniti maritim - Adly
KUALA LUMPUR - Laut China Selatan berada dalam keadaan selamat, terkawal, kekal bebas dan terbuka kepada komuniti maritim negara luar.
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari menjelaskan, kehadiran aset maritim China di perairan itu seperti yang dilaporkan adalah pasukan pengawal pantai dan bukannya kapal perang.
"Walaupun kehadiran kapal China mencetuskan polemik, namun sehingga hari ini mereka tidak melakukan sebarang tindakan agresif seperti di Filipina dan Vietnam.
"Kementerian Pertahanan tetap komited dalam melaksanakan amanah dan tanggungjawab untuk mempertahankan kedaulatan negara serta memastikan kesiapsiagaan aset berada pada tahap optimum dalam menghadapi sebarang bentuk ancaman keselamatan negara," katanya ketika Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, pada Isnin.
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Jalaluddin Alias (BN-Jelebu) mengenai sejauh mana keselamatan perairan Malaysia di Laut China Selatan terjamin susulan pencerobohan kapal frigat tentera China dan Pengawal Pantai China di Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) di Wilayah Maritim Sarawak.
Dalam pada itu Adly turut menjelaskan, Malaysia melalui Mesyuarat Menteri-menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) akan memperkukuhkan diplomasi pertahanan supaya isu keselamatan di Laut China Selatan yang turut mengaitkan negara ASEAN lain dapat dibincangkan.
Selain itu menurut beliau, negara memanfaatkan peluang sebagai Pengerusi ASEAN pada tahun hadapan untuk menyelesaikan beberapa isu berbangkit.
"Apa yang penting adalah bagaimana Malaysia boleh meneruskan kegiatan ekonomi, selamat bagi nelayan dan dalam masa sama, perdagangan laut di Laut China Selatan menjadi kawasan selamat," ujarnya.
Sementara itu menjawab soalan tambahan Datuk Seri Ikhmal Hisham Abdul Aziz (PN - Tanah Merah) mengenai pencerobohan kapal Pengawal Pantai China (CCG) di Perairan Beting Patinggi Ali, Adly menjelaskan, pihaknya sentiasa bekerjasama dengan Kementerian Luar untuk memastikan setiap permohonan kapal tentera laut negara asing mendapat kebenaran.
"Tujuan dan matlamat mempunyai kebaikan bersama, sama ada berkongsi maklumat atau pengalaman dan seumpamanya.
"Apa yang berlaku di mana-mana lokasi sekali pun, tidak harus dijadikan politik selagi dalam kawalan dan undang-undang negara kerana sebahagian 'port of call' melibatkan aktiviti bersama komuniti," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!