Kementerian Ekonomi mula gerak kerja RMK13

Rafizi Ramli
Rafizi Ramli
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Ekonomi telah memulakan gerak kerja Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) yang dijangka dibentangkan di Parlimen pada suku ketiga 2025.

Menterinya, Rafizi Ramli berkata, RMK-13 perlu dirangka dengan lebih holistik, strategik dan inklusif bagi mencapai matlamat Ekonomi Madani iaitu menstrukturkan semula ekonomi ke arah menjadikan Malaysia sebagai peneraju ekonomi Asia dan meningkatkan kualiti hidup rakyat.

"Kementerian Ekonomi sedang giat melaksanakan pelbagai sesi libat urus, perbincangan, dialog serta mesyuarat Kumpulan Perancang Antara Agensi (IAPG) bagi mendapatkan input dan cadangan yang akan diambil kira dalam membangunkan kerangka RMK-13,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat pada Isnin.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Adnan Abu Hassan (Barisan Nasional-Kuala Pilah) mengenai mekanisme dan strategi yang dilaksanakan kementerian itu bagi memastikan program Jelajah MADANI Mendengar menjadi wadah terbaik dan berkesan untuk kerajaan mengumpul input dalam usaha merangka pelan RMK-13.

RMK-13 merupakan kesinambungan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) bagi tempoh 2021 hingga 2025.

Beliau berkata, Persidangan Permulaan RMK-13 telah dianjurkan dengan kerjasama Bank Dunia dan Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) pada 5 dan 6 September 2024.

"Persidangan ini merupakan platform untuk berkongsi maklumat dan pengalaman daripada pakar tempatan dan antarabangsa mengenai trend mega, isu dan cabaran sosioekonomi, serta strategi yang bersesuaian untuk diambil oleh kerajaan dalam merangka dasar dan hala tuju RMK-13,” katanya.

Rafizi berkata pihaknya telah melancarkan program Jelajah Madani Mendengar bermula dari September sehingga Disember 2024.

Artikel Berkaitan:

"Program ini merupakan mekanisme dan strategi bagi mendapatkan input dan pandangan daripada semua lapisan masyarakat berhubung dasar dan aspirasi baharu yang akan diperkenalkan oleh kerajaan dalam RMK-13.

"Pelaksanaan program ini melibatkan semua kerajaan negeri, pihak swasta dan pemain industri, akademia dan mahasiswa, pertubuhan masyarakat sosial (CSO) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta orang awam,” katanya. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!