Belanjawan 2025: Dana R&D ditingkatkan bukti kerajaan serius - Lih Kang

Lih Kang (tengah) merasmikan International Symposium On Biopolymers 2024 di Pusat Konvensyen Setia Spice pada Isnin.
Lih Kang (tengah) merasmikan International Symposium On Biopolymers 2024 di Pusat Konvensyen Setia Spice pada Isnin.
A
A
A

BAYAN BARU - Dana penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang ditingkatkan kepada RM600 juta berbanding RM510 juta dalam Belanjawan 2025 menunjukkan kerajaan mengambil serius tentang pelaburan dalam bidang tersebut.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang berkata, walaupun dana tersebut perlu dikongsi bersama Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), peningkatan dana tersebut dilihat satu perkara yang amat positif.

"Dalam Belanjawan 2025 yang dibentangkan Jumaat lalu, kita boleh lihat Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) mendapat sedikit peningkatan. Dan saya rasa, kita boleh melihat rata-rata pada dasarnya, banyak kementerian dipotong bajet mereka.

Lih Kang (kanan) melawat reruai di International Symposium On Biopolymers 2024 di Pusat Konvensyen Setia Spice di Bayan Baru.
Lih Kang (kanan) melawat reruai di International Symposium On Biopolymers 2024 di Pusat Konvensyen Setia Spice di Bayan Baru.

"Tetapi tidak kepada MOSTI, kita mempertahankan RM1.2 bilion. Selain itu, kita juga dapat melihat peningkatan dalam dana R&D daripada 510 juta tahun ini kepada 600 juta tahun depan.

"Sudah tentu, ia akan dikongsi bersama KPT namun ini adalah bukti yang baik bahawa kerajaan sangat serius dalam pelaburan dalam projek R&D," katanya selepas merasmikan International Symposium On Biopolymers 2024 di Pusat Konvensyen Setia Spice di sini pada Isnin.

Simposium tersebut dianjurkan oleh Pusat Pengajian Sains Biologi, Universiti Sains Malaysia (USM) dengan kerjasama Institut Bioteknologi Kebangsaan Malaysia (NIBM) dan Perbadanan Pembangunan Bioekonomi Malaysia (BEC).

Sebelum ini, MOSTI mencadangkan peruntukan dalam Belanjawan 2025 bagi R&D ditingkatkan supaya memperkukuh sektor inovasi negara.

Artikel Berkaitan:

Peningkatan pelaburan dalam R&D amat penting bagi mencapai sasaran Malaysia untuk berada dalam kedudukan 30 teratas dunia dalam Indeks Inovasi Global (GII) menjelang 2025.

Tambah Lih Kang, dalam keadaan ekonomi ketika ini, peningkatan dana tersebut adalah perlu untuk perkembangan bidang sains dan teknologi.

"Saya rasa ini adalah sesuatu yang positif kerana jika melihat keadaan ekonomi sekarang, jika kerajaan tidak serius dalam R&D, kerajaan tidak akan melabur lebih dalam R&D," katanya.

Mengulas lanjut Lih Kang berkata, Malaysia menghadapi cabaran dalam mengkomersialkan projek R&D disebabkan kekurangan kerjasama antara pemain industri dan sektor kerajaan.

Bagaimanapun katanya, majlis seperti simposium tersebut berpotensi untuk merapatkan jurang antara kedua-dua sektor tersebut, khususnya dengan penglibatan institusi akademik seperti USM.

"Umumnya, kita berdepan masalah dalam mengkomersialkan projek R&D yang berkualiti kerana kurangnya kerjasama antara pemain industri, universiti dan sektor kerajaan. Oleh itu, kami berusaha untuk memperbaiki keadaan ini.

"Simposium ini mampu menjadi jambatan penghubung, yang mana akademia seperti USM dapat bekerjasama dengan pemain industri dan agensi kerajaan untuk menghubungkan semua pihak yang terlibat," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!