Ipoh bergegar, bunyi dentuman kuat

Diviya menunjukkan pintu kaca pejabatnya yang turut terkesan gegaran kuat melanda beberapa kawasan di Ipoh pada Isnin.
Diviya menunjukkan pintu kaca pejabatnya yang turut terkesan gegaran kuat melanda beberapa kawasan di Ipoh pada Isnin.
A
A
A

IPOH - Satu gegaran kuat dirasai di beberapa kawasan di sekitar Ipoh sekitar jam 11 pagi pada Isnin.

Gegaran yang berlaku dalam tempoh beberapa saat itu turut disusuli dengan bunyi dentuman yang kuat hingga mengakibatkan orang ramai terkejut dan cemas.

Tinjauan di Medan Istana di sini mendapati, rata-rata kakitangan berlari keluar dari kawasan pejabat masing-masing untuk menyelamatkan diri.

M Diviya, 30, berkata, gegaran berlaku hingga mengakibatkan pintu kaca pejabatnya seakan hendak pecah.

"Gegaran berlaku secara tiba-tiba, dalam masa sama saya terdengar bunyi dentuman seperti bom dari bahagian atas.

"Saya dan rakan tak tunggu lama, kami terus keluar dari pejabat sebab bimbang berlaku runtuhan," katanya.

Beliau yang bekerja di sebuah firma guaman memberitahu telahpun menghubungi Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) untuk maklumkan kejadian itu.

"JMG beritahu mereka juga ada terima beberapa aduan yang sama berkiatan berlakunya gegaran," katanya.

Artikel Berkaitan:

Noor Zaiti Nabilah Ahmad, 32, pula berkata, ini pengalaman pertama beliau merasai gegaran sepanjang enam tahun bekerja di sini.

"Takut memang takut, namun syukurlah tiada apa-apa kejadian tidak diingini berlaku. Gegaran itu berlaku sekejap sahaja," katanya.

Tinjauan di media sosial mendapati, gegaran turut dirasai di kawasan Tasek, Stadium Perak, Meru, Falim dan Manjoi serta pengguna Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dekat Terowong Menora.

Ada antara mereka yang mendakwa, gegaran berlaku mungkin disebabkan aktiviti kuari.

Setakat ini, JMG belum mengeluarkan sebarang kenyataan atau makluman berkaitan gegaran tersebut.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!