Belanjawan 2025 mesra rakyat, tangani isu kos sara hidup - Penganalisis

Belanjawan 2025 yang diumumkan Jumaat lepas bersifat mesra rakyat dan menepati hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menangani isu peningkatan kos sara hidup. Gambar hiasan
Belanjawan 2025 yang diumumkan Jumaat lepas bersifat mesra rakyat dan menepati hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menangani isu peningkatan kos sara hidup. Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Belanjawan 2025 yang diumumkan Jumaat lepas bersifat mesra rakyat dan menepati hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menangani isu peningkatan kos sara hidup, kata penganalisis.

Pengarah Program Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) dari Putra Business School (PBS), Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, kenaikan gaji minimum kepada RM1,700, yang merupakan langkah susulan kepada pelarasan gaji penjawat awam, menunjukkan komitmen kerajaan terhadap kesejahteraan rakyat.

Selain itu, bantuan untuk golongan kurang berkemampuan seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR), Sumbangan Asas Rahmah (SARA), dan bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) terus dinaikkan, di samping subsidi bersasar yang dinikmati oleh rakyat, katanya.

"Fokus (Belanjawan 2025) memang untuk rakyat apabila tiada projek mega diumumkan dan kalau ada projek infrastruktur ia lebih kepada menaik taraf kemudahan asas yang akan memberi manfaat kepada rakyat secara langsung," katanya ketika dihubungi Bernama.

Ketika membentangkan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat, Perdana Menteri mengumumkan kenaikan gaji minimum daripada RM1,500 kepada RM1,700 berkuat kuasa Februari 2025, dengan penangguhan enam bulan diberikan kepada majikan yang mempunyai kurang lima pekerja.

Ahmed Razman berkata, golongan berpendapatan pertengahan (M40) tidak tercicir daripada menikmati manfaat Belanjawan 2025, kerana mereka juga akan menerima sebahagian daripada bantuan yang diumumkan oleh kerajaan, tanpa dibebankan dengan cukai tambahan.

"STR dan SARA akan memberi manfaat kepada 60 peratus rakyat. Ini bermakna separuh daripada golongan M40 akan turut mendapat bantuan ini," ujarnya.

"Selain itu, golongan M40 yang ingin memiliki rumah akan mendapat pelepasan cukai dan masih mendapat manfaat daripada penyasaran subsidi petrol, pendidikan dan kesihatan," katanya sambil menambah kebanyakan cukai dikenakan ke atas golongan berpendapatan tinggi T15.

Artikel Berkaitan:

Menurut Perdana Menteri peruntukan untuk STR dan SARA dinaikkan daripada RM10 bilion kepada RM13 bilion pada 2025 dan akan memberi manfaat kepada sembilan juta penerima atau bersamaan 60 peratus penduduk dewasa negara.

Selain itu, 85 peratus rakyat tidak akan terkesan daripada penyasaran subsidi pendidikan dan kesihatan serta subsidi Petrol RON95 yang akan dilaksanakan pertengahan 2025.

Bagi mengelakkan peniaga mengambil kesempatan untuk menaikkan harga barangan susulan kenaikan gaji minimum, Ahmed Razman berkata kerajaan perlu meneruskan mekanisme kawalan harga barangan keperluan dan perkhidmatan asas seperti ayam, telur, beras, tarif elektrik dan petrol.

"Tetapi bagi barangan keperluan lain, ini boleh dikurangkan bebannya melalui bantuan tunai. Kita juga ada Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan, jika peniaga menaikkan harga barangan secara ketara pengguna boleh membuat laporan.

"Aplikasi Price Catcher juga membolehkan kita membuat perbandingan harga di kawasan setempat. Jadi kita lihat mekanisme itu masih ada untuk memastikan tiada kenaikan harga barangan yang ketara," katanya.

Pakar Ekonomi Prof Emeritus, Dr Barjoyai Bardai turut bersetuju bahawa Belanjawan 2025 adalah belanjawan mesra rakyat kerana tiada projek mega diumumkan, selain meningkatkan bantuan sedia ada seperti STR dan SARA yang memberi manfaat kepada golongan memerlukan.

Pensyarah Universiti Tun Abdul Razak (UNIRAZAK) itu turut mengalu-alukan bantuan untuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) peningkatan gaji minimum yang akan dinikmati oleh kira-kira 16 juta kumpulan pekerja di negara jni.

Beliau bagaimanapun meluahkan kebimbangan terhadap mekanisme penyasaran subsidi petrol RON95 yang mungkin lebih rumit berbanding penyasaran subsidi diesel, kerana ia melibatkan kira-kira 20 juta pengguna.

"Ketika penyasaran subsidi diesel diperkenalkan, kami beranggapan tidak ramai pengguna kenderaan diesel di Semenanjung Malaysia. Namun, lebih daripada 250,000 orang terpaksa mendaftar dan mendapatkan bantuan subsidi setiap bulan,” katanya.

"Kalau petrol ini mungkin 20 juta orang akan mendaftar. Jadi bagaimana pengurusan akan dilakukan?” katanya, sambil menambah kerajaan perlu menambah baik Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) jika mahu melaksanakan penyasaran subsidi petrol dengan berkesan. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!