Usaha rapat jurang pembangunan wilayah tonggak dasar kerajaan - Rafizi

Rafizi ketika sesi pertanyaan jawab lisan di Dewan Rakyat pada Isnin.
Rafizi ketika sesi pertanyaan jawab lisan di Dewan Rakyat pada Isnin.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Usaha merapatkan jurang pembangunan antara wilayah dalam negara sentiasa menjadi tonggak dasar kerajaan menerusi penyelarasan semua bentuk pelaksanaan.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, sebagai contoh peruntukan perbelanjaan pembangunan diberikan lebih kepada kawasan yang kurang membangun termasuk bantuan tunai kepada penerima di kawasan berkenaan.

Malah melalui Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13), beliau menjelaskan, kerajaan mahu memastikan penilaian dan perangkaan dasar berkenaan tidak dilihat daripada perspektif makro dalam kalangan pemegang taruh pembuat dasar, tetapi turut membabitkan penerima bantuan serta program.

"Kita mahu mendengar sendiri daripada kumpulan penerima, contohnya nelayan, mahasiswa atau anak muda di luar bandar untuk membangunkan bentuk program yang betul-betul berkesan dan tiada ketirisan.

"Melalui Jelajah Madani Mendengar dari September hingga Disember depan, saya harap kita akan mendapat maklumat langsung daripada penerima dan pemegang taruh program bagi membolehkan RMK-13 bukan sahaja tepat tetapi pelaksanaannya betul kepada kekangan dan keperluan penerima," katanya ketika sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat pada Isnin.

Beliau menjawab soalan tambahan Salamiah Mohd Nor (PN-Temerloh) mengenai strategi kerajaan dalam usaha merapatkan jurang sosial ekonomi antara negeri dan lokaliti, selain mengambil kira taburan wilayah ekonomi seperti disyorkan dalam dokumen Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 sebelum ini.

Sementara itu menjawab soalan asal Datuk Adnan Abu Hassan (BN-Kuala Pilah) mengenai mekanisme dan strategi kementerian bagi memastikan program jelajah tersebut Jelajah menjadi wadah terbaik dan berkesan, Rafizi memaklumkan, semua pandangan yang dikumpul dalam setiap jelajah akan dibincangkan di pelbagai peringkat perancangan.

"Idea baharu dan maklum balas diterima akan diperhalusi di bawah kumpulan fokus yang dibentuk.

Artikel Berkaitan:

"Selain itu, sesi libat urus Parlimen akan diadakan pada Disember ini bagi mendapatkan input dan maklum balas daripada semua ahli Parlimen," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!