[VIDEO] Pembangkang persoal MP Machang tidak dibenar duduk di Galeri Awam

A
A
A

KUALA LUMPUR - Pembangkang membangkitkan persoalan berkenaan tindakan yang dikenakan terhadap Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal yang tidak dibenar mengikuti persidangan dari Galeri Awam Dewan Rakyat.

Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, Wan Ahmad Fayhsal menerima surat daripada Speaker, Tan Sri Johari Abdul pada Selasa lalu yang tidak membenarkan beliau berbuat demikian, sedangkan telah berada di kawasan itu untuk mengikuti persidangan sehari sebelumnya.

Takiyuddin
Takiyuddin

"Berdasarkan Peraturan Mesyuarat 44 (5), jika seseorang ahli digantung daripada perkhidmatan Majlis Mesyuarat, dia hendaklah keluar dan tidak ambil bahagian dalam mesyuarat sehingga tamat tempoh penggantungan.

"Machang (Wan Ahmad Fayhsal) sudah digantung selama enam bulan dari 18 Julai 2024 hingga 18 Januari 2025, namun dalam perenggan tiga surat yang diterima beberapa hari lalu menyatakan beliau tidak dibenarkan berada dalam Dewan Rakyat, termasuk Galeri Awam dan tempat pegawai bertugas, namun masih boleh berada di pekarangan kompleks Parlimen dan mengikuti siaran langsung yang dipapar.

"Tetapi Speaker kata Machang tidak boleh duduk, sedangkan itu menunjukkan beliau ahli Parlimen yang prihatin, komited dan ada perkara berkaitan rakyat Parlimennya, boleh minta untuk dimasukkan dalam (perbahasan) ahli Dewan," katanya sebaik selesai sesi soal jawab di Dewan Rakyat, pada Isnin.

Sebagai rekod, Wan Ahmad Fayhsal yang juga bekas Timbalan Menteri Belia dan Sukan digantung daripada menghadiri sidang Dewan Rakyat selama enam bulan bermula 18 Julai lalu susulan dakwaannya mengenai surat layang dikatakan mengandungi maklumat berkaitan dalang sebenar di sebalik pengambilalihan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).

Keputusan tersebut diumumkan Johari selepas usul berkenaan mendapat sokongan majoriti ahli Parlimen dengan 110 bersetuju dan 63 tidak bersetuju, selepas undi belah bahagi dijalankan.

Artikel Berkaitan:

Usul berhubung penggantungan Wan Ahmad Fayhsal dikemukakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.

Ramli
Ramli

Sementara itu Timbalan Speaker, Datuk Dr Ramli Mohd Nor membenarkan perkara berkenaan dibawa semula untuk dibangkitkan ketika Dewan Rakyat dipengurusikan oleh Johari pada masa akan datang.

"Keputusan telah diputuskan oleh Speaker, peraturan mengenai perkara yang dibangkitkan adalah melibatkan perbahasan.

"Saya tidak boleh 'over right' keputusan Speaker melainkan di dewan ini mempunyai hierarki mahkamah.

"Saya cadangkan insiden yang berlaku itu diusulkan untuk keputusan berpandukan kepada surat (yang diterima)," ujarnya

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!