Johor pantau perairan, giat kesan tumpahan minyak

Tian Soon
Tian Soon
A
A
A

JOHOR BAHRU - [DIKEMAS KINI] Pemantauan di kawasan perairan sedang dilakukan bagi mengesan sebarang tumpuan minyak susulan kebocoran paip minyak di Pulau Bukom, Singapura, yang menjejaskan perairan republik berkenaan, sejak Sabtu.

Exco Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Ling Tian Soon berkata bagaimanapun setakat ini, tiada kesan tumpahan minyak dikesan di perairan negeri.

"Jabatan Laut Wilayah Selatan dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) telah dimaklumkan mengenai kebocoran paip minyak di perairan Singapura.

"Dua agensi berkenaan sedang giat melakukan pemantauan di perairan Johor. Ia bagi mengesan sebarang kesan tumpahan minyak," katanya ketika dihubungi pada Isnin.

Sebelum itu, sebuah akhbar Singapura melaporkan insiden pencemaran minyak di perairan republik itu berlaku awal pagi Sabtu lalu.

Ia dipercayai berpunca daripada kebocoran saluran paip sebuah syarikat minyak dan gas (O&G) antarabangsa di Pulau Bukom, yang terletak 5.5 kilometer barat daya dari daratan Singapura.

Pulau Bukom menempatkan tapak minyak dan petrokimia yang terintegrasi dengan kemudahan pembuatan untuk bahan api, minyak asas pelincir dan bahan kimia khusus.

Lembaga Maritim dan Pelabuhan Singapura (MPA) dilaporkan berkata, kebocoran minyak dikesan kira-kira jam 5.30 pagi Sabtu, dari saluran paip darat milik sebuah syarikat O&G antarabangsa antara Pulau Bukom dan Bukom Kecil.

Artikel Berkaitan:

Akibat insiden itu, minyak dari paip berkenaan telah dilaporkan mengalir ke kawasan penampungan dengan sebahagiannya melimpah ke saluran air antara Pulau Bukom dan Bukom Kecil di perairan Singapura.

Peralatan termasuk boom penampan minyak dilaporkan sudah diletakkan berhampiran lokasi kebocoran minyak manakala MPA Singapura telah mengaktifkan dron dan keupayaan satelit untuk menjejak kesan minyak bagi tujuan pembersihan di perairan republik itu.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!