DBKL selesai isu peniaga Bazar Deepavali di Brickfields
KUALA LUMPUR - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengambil tindakan serta-merta menambah tiga khemah bagi menyediakan ruang kepada enam peniaga di Brickfields untuk terus beroperasi sebagai usaha membantu peniaga terjejas.
DBKL memaklumkan, langkah itu adalah untuk memastikan peniaga terbabit mendapat peluang berniaga sempena sambutan Deepavali seperti disarankan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa.
“Atas persetujuan sendiri, pihak penganjur akan mencari tapak alternatif bagi dua lagi khemah yang melibatkan empat orang lagi peniaga untuk mereka meneruskan perniagaan,” ujar DBKL dalam satu kenyataan pada Isnin.
Kata kenyataan itu, DBKL komited untuk memastikan proses itu berjalan lancar agar kesemua peniaga dapat memanfaatkan musim perayaan ini dan dapat menjana pendapatan.
Pada Sabtu lalu, Zaliha meminta Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif membantu 10 peniaga Bazar Deepavali di Brickfields yang tidak dibenarkan berniaga sebelum ini.
Zaliha seperti dilaporkan berkata, selepas semakan dibuat, pihaknya mendapati pengurusan bazar tersebut dikendalikan oleh sebuah persatuan, termasuk berkaitan pengurusan peniaga bazar.
Tambahnya, isunya adalah kebenaran jumlah tapak diberikan DBKL kepada persatuan tersebut adalah 20 tapak tetapi pihak persatuan tawarkan tapak perniagaan melebihi jumlah tapak dibenarkan.
Dalam pada itu, DBKL juga menegaskan bahawa langkah ini selaras dengan pendekatan yang lebih menyeluruh bagi memastikan pengurusan bazar pada masa hadapan dikendalikan oleh DBKL.
"DBKL juga akan mengendalikan sendiri bazar, tanpa melibatkan pihak ketiga bagi mengelakkan sebarang isu berkaitan ketidakpatuhan syarat atau kos sewa yang membebankan peniaga,” kata kenyataan itu
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!