Projek ECRL: 21 rumah terlibat banjir di Gombak dipindahkan, kos ditanggung MRL

Amirudin ketika mempengerusikan mesyuarat khas dengan Pegawai Daerah Gombak, Majlis Perbandaran Selayang, Malaysia Rail Link (MRL), wakil penduduk Sungai Chinchin dan pihak-pihak berkaitan membincangkan isu terkait pembinaan ECRL berhampiran Sungai Chinchin. Foto Facebook Amirudin Shari
Amirudin ketika mempengerusikan mesyuarat khas dengan Pegawai Daerah Gombak, Majlis Perbandaran Selayang, Malaysia Rail Link (MRL), wakil penduduk Sungai Chinchin dan pihak-pihak berkaitan membincangkan isu terkait pembinaan ECRL berhampiran Sungai Chinchin. Foto Facebook Amirudin Shari
A
A
A

SHAH ALAM - Penghuni 21 rumah di Kampung Sungai Chinchin, Gombak yang terlibat dengan kejadian banjir susulan pembinaan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) akan dipindahkan sementara ke rumah sewa.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, perkara itu dipersetujui hasil mesyuarat khas melibatkan Pegawai Daerah Gombak, Majlis Perbandaran Selayang dan Malaysia Rail Link (MRL) bersama wakil penduduk Sungai Chinchin semalam.

"Mereka yang terlibat akan berpindah sementara ke rumah sewa dan kos terlibat akan ditanggung MRL," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.

Beliau berkata, perkara itu diputuskan susulan peningkatan kekerapan kejadian banjir kilat, pencemaran bunyi, pencemaran udara, habuk dan insiden paip pecah yang meresahkan penduduk Sungai Chinchin dan Gombak Utara.

Amirudin yang juga Ahli Parlimen Gombak berkata, untuk jangka panjang, sebuah kolam tadahan akan dibina bagi mengatasi masalah banjir kilat di kawasan berkenaan selain MRL juga bersetuju menanggung kos membaiki kerosakan rumah yang disebabkan letupan bahan serta jalan-jalan utama yang turut terkesan.

Beliau berkata, MRL juga mengambil maklum dan bersetuju menghentikan kerja-kerja di kawasan berkenaan pada hari Ahad dan hari-hari tertentu seperti hari berlangsungnya peperiksaan.

"Insya-Allah, pejabat Parlimen Gombak akan memberi kerjasama kepada semua pihak termasuk penduduk dan MRL dalam memastikan kelancaran proses pembinaan ECRL tanpa mengabaikan kesejahteraan kehidupan penduduk," katanya.

ECRL yang dijangka beroperasi pada 2027 akan menghubungkan kawasan Pantai Timur dengan Pantai Barat dan merentasi 20 stesen di empat negeri meliputi Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!