Sembilan anak bekas ahli GISBH akan bersekolah

Anak bekas ahli GISBH mengikuti kelas intensif di Akademik YASA-MUIP pada Isnin. (Gambar kecil: Dr Asmadi )
Anak bekas ahli GISBH mengikuti kelas intensif di Akademik YASA-MUIP pada Isnin. (Gambar kecil: Dr Asmadi )
A
A
A

KUANTAN - Sembilan anak daripada sebuah keluarga bekas ahli kumpulan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) akan menerima pendidikan secara formal dalam masa terdekat.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi) Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), Dr Asmadi Abdul Rahman berkata, perbincangan dengan ahli keluarga telah dibuat bagi tujuan penempatan persekolahan.

Menurutnya, kesemua mereka berumur antara lapan hingga 17 tahun.

"Enam beradik akan ditempatkan di sekolah Menengah Agama di bawah selian MUIP di Pekan, manakala tiga lagi di sekolah rendah di sini (Kuantan).

"Pada ketika ini, kesemua mereka sedang mengikuti kelas intensif di Akademik YASA-MUIP, untuk kita melihat tahap penguasaan mereka dalam akademik semasa sebelum diserap masuk ke sekolah dalam masa terdekat," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan MUIP mengesan sebuah keluarga yang mempunyai 13 anak tetapi tidak mempunyai tempat tinggal dan sumber pendapatan selepas tindakan tegas diambil pihak berkuasa terhadap GISBH.

MUIP turut menyediakan bantuan bulanan sebanyak RM900 termasuk RM300 baucer belian barangan keperluan asas di kedai terpilih kepada keluarga terbabit, selain tempat tinggalkan dan modal perniagaan.

Asmadi memaklumkan, pihaknya kini menyediakan kelengkapan seperti pakaian sekolah, selain menanggung yuran persekolahan, sembilan beradik berkenaan.

Artikel Berkaitan:

"Kita sediakan bantuan ini memastikan mereka dapat memulakan persekolahan dengan selesa," katanya.

Dalam pada itu, Asmadi berkata, MUIP sedia memberi bantuan kepada semua bekas ahli GISBH jika mereka terbukti dapat mematuhi beberapa syarat ditetapkan pihaknya.

Jelasnya, antaranya perlu bebas daripada dakwaan mahkamah dan terbukti tiada kaitan dengan organisasi berkenaan serta wajib mengikuti kelas pemulihan secara berterusan di bawah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP)

"Kita prihatin dengan nasib mereka dan jika orang ramai mempunyai maklumat berkaitan perkara ini boleh menghubungi pihak majlis di setiap daerah dan negeri," tegas beliau lagi.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!