Selangor bina ban lebih kukuh di Tanjung Karang, Kuala Langat

Izham Hashim
Izham Hashim
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM10 juta bagi menangani isu kerosakan ban di Tanjung Karang dan Kuala Langat akibat fenomena air pasang besar.

Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Ir. Izham Hashim, berkata, kaedah pembinaan semula ban di dua kawasan berkenaan juga akan menggunakan sistem yang sudah terbukti berjaya di Indonesia.

"Kerajaan negeri telah meluluskan salah satu kaedah digunakan iaitu sistem SPS yang sangat berjaya di Indonesia untuk kita bawa ke sini sebagai projek perintis di Tanjung Karang dan Kuala Langat.

"Tempat yang sering bermasalah ini kita akan gantikan dengan binaan ban lebih kukuh dan tempat yang tak pernah berlaku itu tidak mengapa, tetapi yang berlaku itu kita kena kenal pasti, kena buat.

"Sudah lulus peruntukan RM10 juta untuk projek perintis ini dan ia akan mula dalam masa terdekat ini dan kalau berjaya kita akan perluaskan lagi," katanya ketika ditemui pemberita di sini pada Isnin.

Beliau ditemui selepas menyempurnakan penyerahan bantuan sempena Majlis Penyerahan Bantuan 5 Tekad 5 Tahun Kerajaan Negeri Selangor di Auditorium Dewan Jubli Perak Sultan Abdul Aziz di Shah Alam.

Izham (tengah) menyempurnakan penyerahan bantuan sempena Majlis Penyerahan Bantuan 5 Tekad 5 Tahun Kerajaan Negeri Selangor pada Isnin.
Izham (tengah) menyempurnakan penyerahan bantuan sempena Majlis Penyerahan Bantuan 5 Tekad 5 Tahun Kerajaan Negeri Selangor pada Isnin.

Izham menambah, kaedah yang digunakan itu juga bukan sahaja sangat kukuh tetapi boleh dibuat dengan lebih cepat serta murah.

Artikel Berkaitan:

"Namun, ia bukan satu-satunya kaedah digunakan bagi mengatasi itu tersebut," ujarnya.

Dalam masa sama, jelasnya, projek menambah baik pesisir pantai di negeri ini bernilai lebih RM30 juta yang diluluskan kerajaan Persekutuan sebelum ini juga sedang dilaksanakan.

Bagaimanapun, ujarnya, projek berkenaan tidak boleh disiapkan dalam tempoh terdekat ini kerana memerlukan masa lebih panjang antara dua hingga tiga tahun.

"Dalam masa hendak menyiapkannya berlaku semua ini (kerosakan ban dan banjir) sebab itu kita juga mengambil langkah-langkah bagi mengukuhkan kawasan itu.

"Kita sedang menaikkan ketinggian ban kira-kira satu hingga 1.5 meter dan kalau projek ini siap ia akan menyelesaikan sebahagian besar daripada masalah kenaikan aras air laut," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!